Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apa saja bentuk kempen perlukan permit, kata polis

Polis menegaskan apa-apa kempen dalam pilihan raya memerlukan permit daripada pihaknya, termasuk kempen dari rumah ke rumah.

Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din berkata, perkara itu dicapai selepas perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengambil kira kempen yang sudah berjalan sejak minggu lepas.

"Permit untuk kempen di bawah Seksyen 24B Akta Pilihan Raya 1958...di mana apa jua kempen yang dijalankan mesti mendapat permit oleh ketua polis daerah. Sama ada ceramah atau bentuk lain...Apa juga bentuk mesti dapat permit dari polis.

"Kita juga membuat beberapa tambahan dalam soal permit yang digariskan dalam seksyen itu...Ketua polis daerah dapat menambah syarat yang diperlukan untuk aspek-aspek keselamatan. Ia untuk memastikan kempen berjalan dengan selamat," katanya ketika sidang media di IPD Pontian hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengarah SPR Johor, Shafie Taib.

Penjelasan itu setelah bantahan dibuat beberapa pihak, antaranya Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkannya sebagai tidak munasabah.

Beliau mempersoalkan sama ada perkara itu setelah Pakatan Harapan (PH) merasakan sukar untuk menang dalam PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November ini.

Seorang lagi naib presiden Umno Mahdzir Khalid berkata beliau memahami jika permit diperlukan untuk kegiatan seperti ceramah tetapi syarat serupa untuk kempen dari rumah ke rumah adalah "terlalu ketat dan tak masuk akal".

Peringatan berkenaan soal itu dibuat Pengerusi SPR Azhar Harun semalam, yang turut berkata polis juga menetapkan permit untuk program tinjauan mesra (walkabout) perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas untuk tujuan pemantauan.

Hari ini Ismail Sabri selaku ketua pembangkang berkata pihaknya telah memfailkan usul bagi membahaskan perkara itu, yang menurutnya dijangka dibahaskan esok.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, isu permit untuk kempen dari rumah ke rumah tidak sepatutnya timbul.

"Apa yang penting setiap kempen diadakan mesti ada permit dari polis daerah. Walau apa bentuk sekalipun, misalnya ceramah (dengan) kenderaan dan (parti bergerak) dari rumah ke rumah untuk tujuan kempen, mesti dapat permit polis.

"Kalau ke rumah untuk ziarah dan tidak libatkan kempen, tidak timbul isu permit," katanya lagi.

Beliau berkata tidak susah untuk memohon permit bagi tujuan itu dan polis setakat ini meluluskan semua permohonan permit daripada parti yang berkempen.

"Dengan kempen bergerak, terdapat insiden berlaku pertembungan antara parti yang bertanding, maka kita minta permohonan nyatakan tempat agar tidak timbul sebarang masalah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS