Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Wujudkan pusat program pendidikan pelihara biosfera di Moyoq'
Diterbitkan:  Nov 16, 2019 5:05 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Sebuah Pusat Program Insan dan Biosfera Negeri Sabah berkapasiti tinggi perlu didirikan di dalam Zon Transisi Rizab Biosfera Banjaran Crocker di daerah ini.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Jenifer Lasimbang ketika mencadangkan pewujudan pusat itu berkata kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog merupakan lokasi yang bersesuaian bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pendidikan malah sebagai satu produk pelancongan, selain berupaya menyediakan peluang peningkatan sosioekonomi dan pekerjaan kepada komuniti.

“Saya berhasrat supaya cadangan ini dapat direalisasikan pada tahun hadapan,” katanya ketika merasmikan Pameran dan Taklimat Rizab Biosfera Banjaran Crocker Daerah Penampang di Kampung Madsiang di Penampang, hari ini.

Banjaran Crocker dan kawasan di persekitarannya seluas 350,584 hektar adalah merupakan satu kawasan yang telah diisytiharkan sebagai tapak Rizab Biosfera pada 12 Jun 2014 oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Jenifer yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog berkata dengan adanya pusat berkenaan, komuniti dalam kawasan rizab itu dapat mengadakan pertemuan yang lebih kerap untuk mendalami pendidikan berkaitan manusia dan biosfera.

Beliau meminta supaya agenda pewujudan pusat itu diberi perhatian oleh Pegawai Daerah dan satu jawatankuasa bertindak kecil dapat diwujudkan segera.

Menurutnya beliau menyokong penuh pemeliharaan dan pemuliharaan Rizab Biosfera Banjaran Crocker ini.

Jenifer berkata penting kepada semua komuniti yang tinggal dalam zon transisi rizab itu menggunakan amalan lestari atau mengambil kira kesan-kesan buruk kepada persekitaran sendiri dan komuniti lain yang tinggal di hilir sungai.

Katanya sebanyak 44 lokaliti yang mempunyai penduduk telah dikenal pasti berada di dalam zon transisi itu.

“Saya percaya kita semua sedar dan tahu bahawa pembukaan dan pembangunan tanah tidak sistematik atau terkawal akan mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar dan seterusnya menyebabkan kerugian kepada komuniti-komuniti yang menerima impak.

Contohnya, apabila cerun-cerun curam di Ulu Sungai Moyog telah dibuka atau diteroka maka komuniti di hilir dan Bandar Donggongon sering mengalami banjir yang menyebabkan kerugian yang tinggi bukan saja kepada komuniti tetapi juga kepada pihak kerajaan,” kata Jenifer.

- Bernama

Lihat Komen
ADS