Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Media kerajaan gagal tangkis serangan pembangkang di Tg Piai'

Kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai menunjukkan media kerajaan tidak memainkan peranan berkesan dalam menangkis serangan dan persepsi ditimbulkan pembangkang.

Menurut Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Muhd Yusri Ibrahim keadaan ini menyebabkan maklumat tidak sampai kepada pengundi sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka terhadap kerajaan.

“Kerajaan PH sekarang seolah-olah tiada mekanisma yang berkesan untuk menangani apa-apa saja persepsi negatif yang dikeluarkan oleh pembangkang.

“Semua isu-isu yang dikeluarkan tiada counter back (Serangan balas) daripada media-media kerajaan. 

"Jadi apa yang saya katakan seolah-olah kerajaan PH kalah persepsi secara total pada pembangkang,"' jelasnya kepada pemberita selepas pembentangan di seminar pasca PRK Tanjung Piai di Universiti Malaya, Petaling Jaya hari ini.

Tambahnya, pembangkang mengambil kesempatan memanipulasi pelbagai isu di media sosial akibat media kerajaan kurang berkesan dalam menangkis serangan mereka.

“Dan jawapan kerajaan yang menggunakan media kerajaan, contohnya macam RTM (Radio Televisyen Malaysia), semua tu tak cukup power untuk menakluki serangan-serangan melalui media-media lain,” katanya.

Media rasmi kerajaan ialah RTM dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Pada 16 Nov lalu, BN memperoleh kemenangan besar pada PRK Tanjung Piai apabila calonnya, Wee Jeck Seng memperoleh majoriti 15,086 undi dengan menewaskan calon PH, PH Karmaine Sardini serta empat yang lain.

Menurut  Mohd Asri, antara isu menyebabkan pengundi Tanjung Piai tidak berpuas hati terhadap kerajaan termasuk janji manifesto yang didakwa gagal ditunaikan, terutamanya yang melibatkan mereka secara langsung.

Antaranya kos sara hidup, pemansuhan tol dan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mereka  berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

Tambah Mohd Yusri, isu yang melibatkan aspek Melayu dan Islam juga gagal ditangani dengan baik, menjadi salah satu punca kekalahan PH.

“Bila hilang macam tu, populariti jatuh merudum. Isu-isu tidak dijawab dengan baik. 

"Jadi pengundi, rakyat ditinggalkan dalam keadaan terkontang-kanting, tidak puas hati dalam banyak isu. Itu diterjemahkan dalam PRK Tanjung Piai,” katanya. 

Lihat Komen
ADS