Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penipu yang menyamar sebagai CEO Malaysiakini Premesh Chandran cuba mendapatkan wang daripada mangsa yang tidak disangka-sangka.

Kakitangan Malaysiakini menerima emel berjudul "REQUEST" (permintaan) daripada "Premesh" bertanyakan sekiranya mereka dalam kelapangan.

Bagaimanapun, alamat emel penghantar [email protected] jelas menunjukkan ini satu penipuan.

Didorong rasa ingin tahu, wartawan Malaysiakini membalas emel tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Sila bantu, saya memerlukan kamu untuk menguruskan pembayaran kepada vendor bagi pihak saya, beritahu saya jika kamu boleh melakukannya sekarang dan saya akan memberikan maklumat vendor yang anda perlukan dalam membuat pembayaran.

"Saya akan membayar balik apabila saya selesai ... Saya akan menghantar cek kepada anda pada hari ini," kata "Premesh".

Apabila wartawan berpura-pura bersetuju, si penipu membalas dengan maklumat akaun Maybank. Walau bagaimanapun, mereka enggan mendedahkan cawangan akaun itu.

Dalam ujian untuk melihat jika penipu bukan bot (program komputer), wartawan ini kemudian bertanya sekiranya bayaran itu adalah untuk potret "Premesh" di bilik mandi tingkat 10. Pejabat Malaysiakini sebenarnya hanya mempunyai tiga tingkat sahaja.

Penipu itu menjawab dengan positif dan apabila ditanya jika pembayaran itu berjumlah RM10,000, si penipu cukup bersetuju.

"Sekiranya anda boleh membantu saya dengan jumlah keseluruhan RM10,000, saya akan sangat gembira. Kamu boleh membayar RM10,000 dan kemudian saya akan menghantar cek kepada anda pada hari ini. Tolong lakukan dengan cepat," balas emel itu.

Wartawan Malaysiakini kemudian menjawab bahawa RM5,000 telah didepositkan, dan mereka sedang menunggu dana yang mencukupi untuk memindahkan baki RM5,000 lagi.

Resit rekaan dibuat dengan gubahan perisian imej dilampirkan dalam e-mel itu.

Bagaimanapun, selepas itu si penipu tidak membalas emel wartawan berkenaan.

Malaysiakini telah memaklumkan kepada pihak Maybank dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengenai penipuan itu.

Penipuan ini antara taktik penipuan bayaran awal, di mana individu tanpa sedar diperdayakan supaya memindahkan wang, dengan janji bahawa wang itu akan dikembalikan.

Tatik yang paling popular adalah apabila seseorang menyamar sebagai putera Nigeria dan meminta bantuan memudah cara pemindahan bernilai jutaan ringgit dengan membayar jumlah tertentu.

Ini bukan kali pertama nama Malaysiakini digunakan dalam penipuan.

Si penipu pernah menggunakan nama dan logo Malaysiakini untuk apa yang kelihatan sebagai penipuan kad kredit.

Penipuan itu mengandungi wawancara yang dibuat oleh Malaysiakini dengan personaliti berprofil tinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes, angkasawan Sheikh Muszaphar Shukor dan hartawan Robert Kuok.

Wawancara palsu tersebut mempromosikan penggunaan perkhidmatan mata wang kripto-bitcoin dan turut menyertakan ulasan yang dikatakan daripada Malaysiakini.

Dalam kes lain, wartawan ini juga dihubungi oleh seorang penipu yang menggunakan nombor telefon Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad untuk membuat akaun Telegram.

Penipu yang mengaku sebagai Khalid itu mendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri sedang menyiasat penulis dan tidak lama lagi akan membekukan asetnya.

Lihat Komen
ADS