Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menentukan sama ada beliau boleh atau tidak berceramah di pusat pengajian tinggi itu.
Abdul Hadi berkata, ini kerana beliau tidak ada masalah untuk mengisi mana-mana program yang dianjurkan di universiti terbabit.
“Itu terpulang kepada pihak UPM untuk menentukan sama ada saya boleh pergi atau tidak.
“Macam saya, saya boleh pergi bila-bila masa sahaja dan malam ini insya-Allah saya ada program ceramah di UM (Universiti Malaya) tapi tajuk lain-lain.
“Saya akan ceramah ikut tajuk dan jawab soalan ikut soalan, terpulang kepada siapa yang bertanya,” katanya dalam sidang media di Rusila, Marang, Terengganu, hari ini.
Abdul Hadi berkata demikian mengulas penangguhan program yang sepatutnya dihadiri anggota Parlimen Marang itu di UPM, baru-baru Ini.
Terdahulu Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) bercadang membawa Abdul Hadi untuk mengisi program Bicara Eksklusif Bersama Tuan Guru Hadi pada 19 Nov.
Bagaimanapun Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, menyatakan program berkenaan tidak dapat dijalankan selepas mendapat makluman daripada UPM melalui surat bahagian Hal Ehwal Pelajarnya.
Surat itu memaklumkan program tersebut ditangguhkan atas "sebab yang tidak dapat dielakkan".
Ini mendorong beberapa pemimpin mahasiswa mendakwa universiti itu mendapat tekanan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
UPM dalam satu kenyataan berkata progam bersama presiden PAS, itu ditangguhkah dengan persetujuan penganjur selepas saranan untuk mencari gandingan bersesuaian gagal diperolehi.
Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Prof Dr Azmawani Abd Rahman, berkata sebelum itu penganjur diminta mencarikan gandingan yang sesuai dari pihak kerajaan untuk menjayakan slot berkenaan.
Namun, katanya sehingga ke tarikh program itu dilangsungkan mereka tidak dapat mencari calon yang sesuai untuk bersama dengan Abdul Hadi.
