Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada gandingan sesuai punca bicara Hadi di UPM ditangguh
Diterbitkan:  Nov 20, 2019 9:29 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata progam bersama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, ditangguhkah dengan persetujuan penganjur selepas saranan untuk mencari gandingan bersesuaian gagal diperolehi.

Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Prof Dr Azmawani Abd Rahman, berkata sebelum itu penganjur diminta mencarikan gandingan yang sesuai dari pihak kerajaan untuk menjayakan slot berkenaan.

Namun, katanya, sehingga ke tarikh program itu akan dilangsungkan mereka tidak dapat mencari calon yang sesuai untuk bersama dengan Abdul Hadi.

"Justeru, pada 18 Nov penganjur bersetuju untuk menangguhkan slot tersebut dengan mengambil kira faktor masa yang terhad untuk mendapatkan penceramah gandingan dari wakil kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Azmawani memberitahu, UPM bersedia membantu penganjur menjayakan slot berkenaan dengan adanya gandingan yang sesuai pada masa depan.

Terdahulu Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) bercadang membawa Abdul Hadi untuk mengisi program Bicara Eksklusif Bersama Tuan Guru Hadi pada 19 Nov.

Bagaimanapun Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, menyatakan program berkenaan tidak dapat dibuat ekoran makluman daripada UPM melalui surat bahagian Hal Ehwal Pelajar atas "sebab yang tidak dapat dielakkan".

Pembangkang memang boleh datang

Semalam seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Arman Usman, mendakwa penangguhan tersebut terjadi apabila universiti terbabit mendapat tekanan daripada Kementerian Pendidikan.

"Perkara ni pun hasil daripada beberapa desakan dari pihak naib canselor sendiri, (yang) ditekan oleh pihak di belakang.

"Jadi disebabkan NC (naib canselor) sendiri menyeru supaya kita menangguhkan program ini. Disebabkan sekatan-sekatan di belakang dari pihak kementerian sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Azmawani berkata UPM tidak menghalang pelaksanaan sebarang aktiviti atau program yang dianjurkan pelajar selagi ia mematuhi prosedur yang berkuat kuasa serta memberi impak positif kepada pelajar.

Namun, katanya, setiap kelulusan yang diberikan hadir dengan tanggungjawab yang sewajarnya daripada penganjur.

"UPM juga sentiasa menjunjung tinggi hasrat kerajaan, terutamanya Menteri Pendidikan sendiri menggalakkan penganjuran forum dan pidato melibatkan ahli politik tanpa ada sekatan demi menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka.

"Justeru ahli politik dari parti pembangkang boleh hadir ke kampus untuk sebarang aktiviti atau program atas platform wacana akademia dengan disertai oleh wakil dari pihak kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS