Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat tahanan mati 'tergantung' pada jeriji lokap

Polis menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kejadian seorang lelaki yang ditemukan mati tergantung dipercayai membunuh diri di dalam lokap tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di Kepala Batas pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah SPU Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berumur 29 tahun yang ditahan pada Rabu di Kampung Perlis, Butterworth bersama rakannya berumur 38 tahun direman selama tujuh hari sejak Khamis dan kes mereka disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Lelaki itu ditempatkan di dalam lokap bersama enam lagi tahanan dan dia dijumpai tergantung pada jeriji kira-kira pukul 4 pagi Jumaat oleh seorang tahanan (yang terjaga daripada tidur) sebelum memaklumkan kepada polis. Semasa kejadian, semua tahanan lain di dalam lokap itu sedang tidur," katanya kepada Bernama di Kepala Batas hari ini.

Katanya, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan laporan pakar patologi mendapati kematian tahanan berkenaan tiada unsur jenayah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh pakar perubatan juga tidak menemui sebarang kecederaan luaran pada badan lelaki itu dan laporan bedah siasat mendapati punca kematian ialah ‘tergantung’ serta kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Noorzainy berkata lokap itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis sedang meneliti rakamannya dari pelbagai sudut untuk siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Pihak polis menjalankan siasatan dalaman dan menyeluruh berhubung kejadian itu untuk melihat jika terdapat unsur kecuaian. Saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak betul dan biar kami jalankan siasatan secara terperinci terlebih dahulu," katanya.

Katanya, lelaki yang bekerja sebagai penggali kubur itu semasa ditahan positif dadah dan dia turut mempunyai rekod lampau.

Sementara itu, beliau berkata polis turut menerima laporan polis dibuat keluarga lelaki tersebut semalam yang meminta pihaknya menyiasat sebab kematian tahanan berkenaan ketika berada di bawah jagaan polis dan beliau memberi jaminan akan menjalankan siasatan terperinci serta adil.

"Saya beri jaminan polis menjalankan siasatan secara adil dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat kecuaian atau jenayah," katanya.

Menurutnya, selain merekodkan keterangan enam tahanan yang berada di dalam lokap bersama lelaki itu, polis turut mengambil keterangan ayah dan abang sulung si mati bagi membantu siasatan kejadian itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS