Paling Popular
Terkini
story images
story images

LANGSUNG | Bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, dijangka akan menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Perbicaraan ke atas Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy memasuki hari kelima hari ini. Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Najib diwakili sepasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Peguam lain ialah Harvinderjit Singh, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah.

Arul Kanda, 43, pula diwakili peguam N Sivananthan, Jasmine Cheong serta Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, pula bertindak sebagai ketua pasukan pendakwaan.

LANGSUNG

1.55 petang: Prosiding untuk hari ini tamat. Ia akan disambung semula jam 9.30 pagi esok.

Pihak pendakwaan dijangka akan menyambung pendengaran rakaman audio mesyuarat pada 24 Feb 2016 bagi membolehkan saksi, Ambrin Buang, membuat pengesahan suara.


12.57 tengah hari: Rakaman mengenai mesyuarat berlangsung pada 24 Feb 2016 yang melibatkan keputusan untuk menggugurkan beberapa isu kontroversi dari laporan akhir audit 1MDB dimainkan sekali lagi di mahkamah.

Rakaman itu sepanjang dua jam 45 minit.

Ia dilakukan atas permohonan Gopal bagi membolehkan saksi, Ambrin, membuat pengecaman.

Saksi pendakwaan itu kemudian dilihat mendengar rakaman berkenaan sambil merujuk kepada transkrip yang disediakan pihak pendakwaan.


12.39 tengah hari: Pihak pendakwaan dan pembelaan masih belum bersepakat mengenai transkrip versi akhir menyuarat pada 24 Feb 2016 yang membawa kepada pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Gopal memberitahu hakim pihaknya berpuas hati dengan transkrip tersebut, namun Shafee dan Sivanantha sebaliknya tidak bersetuju atas beberapa sebab.

Antaranya beberapa fakta yang didakwa sebagai kesilapan dan perkataan-perkataan yang tertinggal.

Akhirnya Sivananthan - yang mewakili Arul Kanda - mencadangkan pihak pendakwaan dan pembelaan menghantar wakil untuk berbincang dan mendengar rakaman suara yang berkenaan serta menulis butirannya.

Cadangan itu diterima semua pihak.

Shafee memberitahu mahkamah, ia mungkin mengambil sedikit masa dan hanya akan tamat menjelang Jumaat ini.


12.14 tengah hari: Ambrin Buang mendakwa beliau pernah berasa tertipu selepas mendapati tiada laporan polis dibuat berhubung dua penyata kewangan 1MDB yang tidak sekata dan dikeluarkan dari laporan akhir auditnya.

Sebelum itu saksi terbabit menjelaskan Najib pernah memberi jaminan untuk menyiasat kejanggalan tersebut.

"Saya rasa tertipu kerana saya diberikan jaminan (oleh Najib) dan dengan premis itu saya (setuju) menggugurkan dua versi (laporan kewangan 1MDB) dari laporan (akhir audit 1MDB)," katanya di depan hakim, Mohamed Zaini, semasa disoal Gopal.


12.11 tengah hari: Pegawai Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad, tidak melanggar sebarang kod etika apabila meletakkan perakam suara dalam kotak pensil semasa mesyuarat berlangsung pada 24 Feb 2016.

Menjawab soalan Gopal, Ambrin memberitahu hal itu kerana Nor Salwani adalah seorang daripada anggota pasukan JAN yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Apabila Nor Salwani diiringi keluar dari mesyuarat tersebut, pegawai terbabit tidak dapat membuat catatan. Justeru, kata Ambrin, rakaman berkenaan dianggap perlu.

Gopal: Dia (Salwani) tak dapat menghadiri mesyuarat, dia meletakkan peranti perakam suara itu dalam bekas pensil (juruaudit JAN) Saadatul) Nafisah. Adakah kamu anggap itu melanggar kod tatalaku?

Ambrin: Tidak, sebab jika dia menghadiri mesyuarat, dia tidak melanggarnya (kod tatalaku) kerana dia boleh menggunakannya kemudian untuk mencatat nota bagi kegunaan dalaman (JAN).


12.09 tengah hari: Ambrin Buang memberitahu mahkamah, beliau mempercayai jaminan Najib Razak untuk menyiasat dua laporan kewangan 1MDB yang bercanggahan.

Menjawab soalan Gopal - selaku ketua pendakwaan - mengenai mesyuarat pada 22 Feb 2016, bekas Ketua Audit Negara memberitahu Najib memberikan jaminan untuk menyiasat isu berkenaan.

Gopal: Bila dia (Najib) kata "I will get to the bottom of it", adakah kamu percaya dia?

Ambrin: Beliau ketika itu seorang perdana menteri. Saya tak ada sebab untuk tak percaya kepada beliau.

Ambrin bagaimanapun mengakui beliau tidak pernah mendapatkan pengesahan kemudian daripada itu sama ada Najib benar-benar menjalankan siasatan.

Terdahulu saksi pendakwaan itu memberitahu bagaimana dua laporan kewangan 1MDB yang saling bercanggahan dikeluarkan dari laporan akhir audit syarikat terbabit.


11.59 pagi: Bekas Ketua Audit Negara mengakhiri keterangan berdasarkan kepada kenyataan saksinya.


11.50 pagi: Ambrin Buang memberitahu mahkamah hari ini, ada beberapa perkataan seperti "tergesa-gesa" digugurkan daripada laporan akhir audit 1MDB.

Merujuk kepada kandungan laporan audit belum muktamad syarikat pelaburan kerajaan itu bekas Ketua Audit Negara berkata ia berkaitan dengan terbitan Nota Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).


11.19 pagi: Perbicaraan berhenti rehat seketika.


11.17 pagi: Bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, mengenal pasti dan mengesahkan perenggan-perenggan yang dipercayai mengandungi laporan audit 1MDB.


10.20 pagi: Menurut Ambrin semasa bermesyuarat pada 24 Feb 2016 itu, beliau bersetuju bahawa kehadiran Low Taek Jho - atau lebih dikenali sebagai Jho Low - dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dikeluarkan dari laporan akhir audit syarikat tersebut.


10.15 pagi: Jabatan Audit Negara (JAN) menerima tekanan supaya mempertimbangkan maklum balas daripada 1MDB mengenai penemuan audit agensi tersebut.

Bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, memberitahu keadaan itu berlaku dalam mesyuarat diadakan pada 24 Feb 2016 yang turut dihadiri Dr Ali Hamsa dan Arul Kanda, masing-masing Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB pada waktu berkenaan.

Menurut Ambrin, Ketua Setiausaha Sulit Najib, Syukry Mohd Salleh, memberitahu semua yang hadir bahawa laporan audit 1MDB mungkin dimanipulasi pembangkang.

Katanya Arul Kanda berpendapat pihak pengurusan 1MDB perlu memberi maklum balas mengenai dapatan audit JAN.

"Mesyuarat itu memberi tekanan kepada JAN untuk mempertimbangkan maklum balas daripada pengurusan 1MDB walaupun masa yang panjang sudah diberikan kepada mereka," katanya.


10.10 pagi: Menurut Ambrin, Najib - ketika itu berjawatan perdana menteri - mengarahkan beliau tidak memasukkan maklumat berkaitan masalah dialami 1MDB dalam laporan akhir audit mengenai syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Menurut Ambrin, arahan itu diberitahu Najib ketika mereka bertemu sebelum mesyuarat yang diadakan pada 24 Feb 2016.

Ia adalah tarikh mesyuarat penting apabila satu keputusan dibuat untuk memadamkan beberapa isu kontroversi daripada laporan tersebut.

"Najib kemudian meminta saya agar tidak memasukkan dua versi laporan kewangan ke dalam Laporan Audit 1MDB. Beliau berjanji kepada saya bahawa pihak berkuasa akan siasat (isu berkenaan).

"We will get to bottom of this (kita akan cari puncanya) secepat mungkin, kata beliau kepada saya," kata Ambrin.


9.55 pagi: 1MDB mengalami masalah apabila hutangnya lebih tinggi berbanding pendapatan membuatkan syarikat itu mengalami kerugian, kata Ambrin Buang.

Bekas Ketua Audit Negara itu memberitahu mahkamah, jabatan beliau mendapati prestasi 1MDB tidak memuaskan, antara lain disebabkan oleh masalah hutang.

Ambrin berkata demikian semasa membaca kenyataan bertulis saksi ketika disoal timbalan pendakwa raya Rozaliana Zakaria.

"Tadbir urus lemah, pelaburan besar tak dibuat perincian, cara berniaga 1MDB bergantung kepada pinjaman luar negara yang sebenarnya menjadi bebanan kepada 1MDB.

"Pinjaman melebihi pendapatan 1MDB dan 1MDB tak menguntungkan," katanya.


9.46 pagi: Najib dan Arul Kanda memasuki kandang orang kena tuduh menandakan prosiding akan bermula tidak lama lagi.

Ambrin pula kelihatan bersedia untuk menyambung keterangan.

Lihat Komen
ADS