Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

LANGSUNG | Perbicaraan ke atas Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy memasuki hari keenam hari ini. Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Perbicaraan hari ini akan menyaksikan pihak pendakwaan menyambung semula rakaman audio mengenai mesyuarat penting pada 24 Feb 2016.

Memainkan kembali rakaman audio itu bertujuan untuk membolehkan bekas ketua audit negara Ambrin Buang mengenal pasti aspek perbincangan pada mesyuarat yang disertainya dalam menangani keputusan untuk menghapuskan empat isu kontroversi daripada laporan audit akhir 1MDB.

Najib diwakili sepasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Peguam lain ialah Harvinderjit Singh, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah.

Arul Kanda, 43, pula diwakili peguam N Sivananthan, Jasmine Cheong serta Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, pula bertindak sebagai ketua pasukan pendakwaan.

LANGSUNG


'Kita jumpa lagi pada 2020' - Hakim

2.00 petang - Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah dan N Sivanthan menggulung pemeriksaan balas mereka terhadap saksi pendakwaan keenam, bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudiannya membincangkan kemungkinan tarikh berikutnya untuk perbicaraan itu, dengan mengatakan bahawa tempoh tiga hari yang ditetapkan pada Januari 2020 mungkin tidak mencukupi untuk menyelesaikan kes itu.

Mahkamah kemudian bersetuju untuk memperuntukkan sembilan hari lagi pada bulan Mac dan April tahun depan sebagai tarikh pendengaran.

Tarikh itu adalah dari 9 ke hingga 11 Mac, 6 hingga 9 April, dan 13 ke 16 April tahun 2020.

Perbicaraan pada tarikh itu adalah selain daripada prosiding pada 13 hingga 16 Januari tahun depan.

Zaini juga menetapkan 9 Januari untuk sebutan kes.

"Inilah prosiding akhir bagi tahun ini, saya akan berjumpa kamu lagi pada tahun 2020," kata hakim.


Arul Kanda paling 'kecil' dalam mesyuarat pinda laporan 1MDB - Saksi

1.52 tengah hari - Bekas ketua audit negara, Ambrin Buang bersetuju dengan peguam bela utama Arul Kanda Kandasamy, N Sivananthan bahawa bekas CEO 1MDB itu paling kecil (tidak penting) dalam mesyuarat pada 24 Feb 2016.

Mesyuarat 24 Feb 2016 itu dihadiri antara lainnya oleh Ambrin, ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa, setiausaha peribadi perdana menteri Najib Razak, Syukry Mohd Salleh, wakil Pejabat Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad.

Ambrin menjawab soalan Sivananthan mengenai fakta bahawa saksi keenam tidak menyebut dalam mana-mana keterangannya sebelum ini bahawa Arul Kanda mempengaruhi keputusan akhirnya mengenai pindaan kepada laporan audit akhir 1MDB.

Sivananthan: Mengenai orang-orang yang mempengaruhi kamu dalam keputusan akhir, kamu tidak menyebut nama Arul Kanda?

Ambrin: Ya.

Sivananthan: Daripada semua pegawai kanan (dalam mesyuarat 24 Feb 2016), orang paling kecil di dalam bilik itu ialah anak guam saya Arul Kanda. Beliau tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menjawab soalan dari Jabatan Audit Negara?

Ambrin: Ya.

Kemudian seperti Shafee sebelum ini, Sivananthan menunggu pemeriksaan lanjutnya sehingga transkrip audio mesyuarat pada 24 Februari 2016 dimuktamadkan.


Tiada masalah Salwani rakam mesyuarat laporan audit 1MDB - Ambrin

1.35 tengahari - Bekas ketua audit negara Ambrin Buang mempertahankan tindakan bekas pegawainya, Nor Salwani Muhammad kerana merakam audio mesyuarat pada laporan audit 1MDB pada 24 Feb 2016.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu memberi keterangan bahawa Salwani tidak meminta izin untuk meletakkan perakam audio di bilik mesyuarat tetapi beliau tidak melihatnya sebagai masalah.

"Bagi saya, tidak perlu meminta izin, kerana niat utamanya adalah untuk membuat cacatan untuk jabatan kami," katanya kepada mahkamah.

"Bagi saya perkara kecil, bukan masalah besar," tambah Ambrin ketika Shafee bertanya lagi jika beliau fikir tindakan Salwani itu tiada masalah.

Terdahulu dalam perbicaraan kes ini, Salwani dalam keterangannya sebagai saksi kelima pendakwaan mengaku meletakkan perakam audio di bilik mesyuarat sebelum ia bermula.

Untuk rekod, mesyuarat itu dipengerusikan oleh ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa, di pejabatnya di Putrajaya untuk membincangkan kandungan laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB.


Najib kelihatan tak tahu dua penyata kewangan berbeza 1MDB

1.14 tengah hari - Bekas perdana menteri Najib Razak kelihatan tidak tahu mengenai dua penyata kewangan 1MDB yang bercanggah, kata saksi memberi keterangan di mahkamah tinggi.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah, Ambrin berkata hal ini dilihat apabila saksi itu membangkitkan perkara tersebut dengan perdana menteri ketika mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri pada 22 Feb 2016.

Shafee: Ketika kamu memberi taklimat kepadanya (Najib), adakah beliau terkejut dengan pendedahan anda (mengenai dua penyata kewangan 1mDB yang berbeza)?

Ambrin: Saya fikir saya adalah orang yang memaklumkan kepadanya. Beliau tidak bertanya kepada saya. Saya memaklumkan kepadanya, walaupun beliau kelihatan tidak sedar (perkara itu).

Shafee: Selepas memberi taklimat kepada beliau (Najib), adakah kamu merasakan beliau telah dimaklumkan mengenai penyata kewangan (1MDB yang bercanggah)?

Ambrin: Saya memaklumkan kepadanya.

Shafee: Adakah kamu mendapat gambaran bahawa beliau (Najib) tidak tahu tentang ini (dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza) sebelum memberi taklimat?

Ambrin: Ya.

Terdahulu, mahkamah mendengar bahawa isu penyata kewangan 1MDB yang bercanggah merupakan antara empat isu yang dilaporkan dalam laporan audit akhir 1MDB berikutan satu mesyuarat pada 24 Feb 2016.


Dalam tekanan, Ambrin kata tiada pilihan pinda laporan audit 1MDB

12.56 tengah hari - Mahkamah tinggi diberitahu bekas ketua audit negara Ambrin Buang bahawa beliau tiada pilihan kerana dirinya dalam tekanan berhubung pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Saksi keenam pendakwaan berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya Ambrin apa pilihan saksi itu jika ada yang membabitkan beliau dengan unsur jenayah, seperti dalam mesyuarat Februari 2016 yang menyebabkan pengguguran empat isu kontroversi daripada laporan audit akhir 1MDB.

Ambrin: Dalam kes ini (mesyuarat Februari 2016), tiada pilihan. Saya berada di bawah tekanan untuk melakukan pindaan itu kerana kepentingan negara (yang dibangkitkan oleh pihak lain dalam mesyuarat itu)," kata Ambrin.

Ambrin merujuk apa yang berlaku pada mesyuarat 24 Feb 2016 yang dihadiri, antara lainnya oleh bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan ketua setiausaha negara pada waktu itu, Ali Hamsa.

Menjawab soalan Shafee sekiranya tindakan Ambrin itu bersetuju dengan pindaan tersebut menjejaskan integriti saksi, Ambrin berkata beliau bercakap mengenai penemuan utama Jabatan Audit Negara terhadap 1MDB, termasuk masalah aliran tunai dan tadbir urus yang lemah.

Ambrin menegaskan hati nuraninya jelas apabila Shafee bertanya jika perubahan pada laporan itu menjejaskan integriti Ambrin.


Laporan audit 1MDB dipinda kurang 16 muka surat dari versi asal

12.37 tengah hari - Bekas ketua audit negara memberi keterangan di mahkamah bahawa laporan audit 1MDB yang disediakan Jabatan Audit Negara (JAN) selepas dipinda pada 2016 kurang 16 muka surat berbanding versi asalnya.

Saksi pendakwaan keenam, Ambrin Buang berkata demikian ketika mengesahkan bahawa versi asal yang diterbitkan oleh JAN pada 21 Februari 2016 mempunyai sejumlah 354 muka surat.

Laporan audit dipinda yang menjadi bahan bukti dalam perbicaraan ini mempunyai 338 halaman.

"Kerana ada perkara yang telah digugurkan daripada laporan ini," kata Ambrin ketika menjawab pertanyaan DPP Akram Gharib mengenai mengapa muka surat laporan yang dipinda lebih pendek.

Sebelum ini, Ambrin juga mengesahkan kepada mahkamah bahawa bab 3 laporan audit yang membincangkan pelaburan SRC International juga telah disingkatkan muka suratnya.

Mahkamah mendengar bahawa bab 3 dalam laporan asal mempunyai sejumlah 21 muka surat yang mengandungi 11 topik, sedangkan dalam laporan yang dipinda, bab 3 hanya mempunyai 10 halaman dengan tujuh topik.


Ambrin kecewa soalan ditanya ketika mesyuarat laporan audit 1MDB

12.12 tengah hari -  Bekas ketua audit negara Ambrin Buang menyatakan rasa kecewa dengan soalan yang dibangkitkan mengenai laporan audit 1MDB yang dimuktamadkan pada 2016.

Semasa pemeriksaan utama oleh DPP utama Gopal Sri Ram, saksi pendakwaan ke-6 berkata demikian mengenai apa yang dirasakannya semasa menghadiri mesyuarat pada 24 Feb tahun itu.

Dalam mesyuarat turut dihadiri antara lainnya, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, ketua setiausaha negara pada ketika itu, Ali Hamsa, keputusan dibuat untuk menghapuskan empat isu kontroversi daripada laporan akhir audit 1MDB.

"Saya berasa sangat kecewa kerana banyak sebab. Semasa di bilik (mesyuarat pada 24 Feb 2016, 2016) bersama orang-orang berkenaan, terdapat banyak soalan mengenai laporan audit kami (Jabatan Audit Negara atau NAD) (pada 1MDB) yang pada masa itu telah dimuktamadkan.

"Kami bersedia untuk mempertahankan (laporan awal) kami di PAC (pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Awam terhadap 1MDB)," kata Ambrin.

Saksi juga berkata Jabatan Audit Negara (JAN) tidak senang dengan percubaan untuk menghapuskan isu-isu daripada laporan akhir audit1MDB kerana mereka menghabiskan banyak masa memburu maklumat yang diperlukan dan bahkan telah bersikap baik dengan 1MDB dalam memberikan mereka masa untuk menjawab pertanyaan oleh JAN ketika menyediakan laporan itu.

"Kekecewaan lain adalah bahawa orang (dalam mesyuarat itu) kadang-kadang tidak memahami peranan Jabatan Audit Negara.

"Sebagai Jabatan Audit Negara, kami meneliti perkara berdasarkan fakta dan fakta ini mesti disahkan dengan dokumen sokongan," kata Ambrin, sambil menambah bahawa peranan ketua audit negara sudah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Ali Hamsa beri tahu mesyuarat laporan audit boleh jejas nama PM

12.07 tengah hari - Mahkamah mendengar daripada bekas ketua jaudit negara Ambrin Buang bahawa bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, telah memberitahu satu mesyuarat pada 24 Feb 2016 bahawa kandungan laporan audit mengenai 1MDB boleh menjejaskan nama perdana menteri.

Untuk rekod itu, perdana menteri pada ketika itu ialah tertuduh Najib Razak.

Mengesahkan kandungan rakaman audio yang dikatakan mesyuarat di pejabat Ali di Putrajaya, Ambrin mendakwa mesyuarat itu diberitahu bertujuan mempertahankan perdana menteri.

"Bacaan saya pada masa itu mereka benar-benar bimbang tentang laporan kami," kata Ambrin kepada mahkamah.

Menurut saksi pendakwa ke-6, namun dia tidak risau mengenai laporan itu, dan bersedia mempertahankan penemuan Jabatan Audit Negara pada 1MDB sebelum pendengaran Jawatankuasa Akaun Awam.

"Bacaan saya pada waktu itu mereka sangat risau dengan laporan kami," kata Ambrin kepada mahkamah.

Menurut saksi pendakwaan ke-6 itu, beliau bagaimanapun tidak risau mengenai laporan berkenaan dan bersedia mempertahankan penemuan Jabatan Audit Negara terhadap 1MDB di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Parlimen.


12.00 tengahari - Prosiding mahkamah bersambung semula selepas rehat sekejap.

11.21 pagi - Perbicaraan berehat seketika.


Mahkamah selesai mainkan semula rakaman audio

11.20 pagi - Mahkamah Tinggi selesai memainkan semula rakaman audio dua jam dan 45 minit perbincangan pada mesyuarat pada 24 Feb 2016, di mana keputusan dibuat untuk menggugurkan empat isu kontroversi daripada laporan audit akhir 1MDB.

Rakaman itu dipasang bagi tujuan proses mengenal pasti oleh bekas ketua juruaudit Ambrin Buang, yang merupakan salah satu peserta mesyuarat bersama antara lainnya bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa.

Rakaman audio sejam pertama telah dimainkan semula semasa prosiding semalam.


9.57 pagi - Peguam bela bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah dilihat memasuki Mahkamah Tinggi, selepas hadir urusan mahkamah yang lebih awal.

Shafee kemudian mengambil tempat duduk bersama anggota pasukan pembelaan Najib yang lain, ketika rakaman audio pada 24 Feb 2016, masih berlangsung di mahkamah.

Rakaman audio tersebut berdurasi 2 jam dan 45 minit.

Rakaman 24 Feb 2016 itu berupa kandungan mesyuarat yang melibatkan bekas ketua audit negara Ambrin Buang, ketua setiausaha negara, Ali Hamsa, dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, di mana keputusan dibuat untuk menghapuskan empat isu kontroversi daripada laporan audit akhir 1MDB.

9.29 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke kamar Mahkamah Tinggi dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam.

Turut kelihatan di mahkamah menunggu prosiding bermula ialah Ketua Pendakwaan DPP Gopal Sri Ram dan DPP lain, serta anggota pasukan pembela.

9.25 pagi - Bekas CEO 1MDB K Arul Kanda memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam.

Lihat Komen
ADS