Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes LTTE: Permohonan ikat jamin Adun Gadek patut didengar

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ikat jamin Adun Gadek, G Saminathan yang ditahan di bawah undang-undang keselamatan Sosma berhubung siasatan terhadap kaitan dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Mahkamah Sesyen patut mendengar permohonan Adun DAP itu untuk ikat jamin walaupun beliau ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Nazlan memutuskan Seksyen 13 Sosma, yang melarang mahkamah daripada memberikan ikat jamin dalam kes-kes kesalahan keselamatan, melanggar doktrin pemisahan kuasa antara badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif.

Hakim Nazlan juga memutuskan bahawa peruntukan undang-undang itu adalah melanggar perlembagaan kerana menafikan hak mahkamah untuk memberikan atau menolak ikat jamin.

Hari ini pada awalnya ditetapkan untuk mahkamah membuat keputusan mengenai permohonan tersebut, berikutan serahan oleh kedua-dua pembelaan dan pendakwaan pada hari Selasa lalu.

Seksyen 13 (1) Sosma menyatakan bahawa jaminan tidak akan diberikan kepada seseorang yang telah dikenakan pertuduhan dengan kesalahan keselamatan.

Peguam Ramkarpal Singh mewakili Saminathan, 34, manakala DPP Muhammad Iskandar Ahmad bertindak bagi pihak pendakwaan.

Antara yang hadir di mahkamah ialah penasihat DAP Lim Kit Siang, MP Klang Charles Santiago, MP Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Timbalan Speaker Melaka Dr Wong Fort Pin.

Keputusan hari ini akan memberi kesan bukan hanya kepada Saminathan tetapi juga 11 lagi tertuduh yang telah dikenakan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan yang didakwa berkaitan dengan LTTE dan telah ditolak ikat jamin oleh mahkamah rendah itu.

Pada 1 Nov, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan oleh Saminathan dan 11 orang lain untuk merujuk isu perlembagaan berkaitan jaminan kepada Mahkamah Tinggi.

Permohonan Saminathan pada 6 Nov dibicarakan di mahkamah hakim Nazlan, di mana DPP Muhammad Iskandar Ahmad berhujah bahawa hanya Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menentukan isu-isu perlembagaan dalam permohonan ikat jamin.

Pada tarikh itu, peguam Saminathan, Ramkarpal Singh menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan ikat jamin itu.

Kata Ramkarpal, Mahkamah Sesyen pada 1 Nov lalu memutuskan bahawa terdapat pertimbangan dalam permohonan pembelaan di bawah Seksyen 13 (2) Sosma untuk merujuk isu-isu perlembagaan berkaitan ikat jamin ke Mahkamah Tinggi.

11 individu lain yang dikenakan pertuduhan berkaitan LTTE, ialah Adun Seremban Jaya P Gunasekaran, 60; pemandu teksi V Balamurugan, 37; penghantar surat S Teeran, 38; peniaga logam sekerap A Kalaimughilan, 28; ketua eksekutif sebuah syarikat S Chandru, 38; juruteknik S Arivainthan, 56; penjaga stor S Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M Pumugan, 29; guru sekolah menengah Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; Ahli DAP V Suresh Kumar, 43; dan ahli perniagaan B Subramaniam, 57.

Pada 29 dan 31 Okt lalu, mereka dibawa ke Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur dan beberapa negeri untuk menghadapi tuduhan berkaitan dakwaan terlibat dengan LTTE.

Terdahulu, Saminathan dan empat yang lain telah membuat permohonan habeas corpus untuk pembebasan tahanan.

Bahaimanapun, pada 5 Nov, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak permohonan habeas corpus, memutuskan bahawa hal itu telah menjadi akademik dan tidak relevan kerana pemohon telah dikenakan tuduhan di mahkamah.

Selain Saminathan, permohonan habeas corpus juga dibuat oleh Gunasekaran, Chandru, Suresh Kumar, dan Arivainathan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS