Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar nafi salah laku seks, kata sibuk kempen PRK
Diterbitkan:  Dec 5, 2019 1:02 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menafikan dakwaan salah laku seks yang dilemparkan terhadapnya oleh bekas pegawai penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther.

Yusoff mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman Anwar pada 2 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Anwar dalam kenyataanya hari ini berkata beliau pada tarikh berkenaan sedang sibuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tanpa asas tersebut.

"Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen," katanya dalam satu kenyataan.

Anwar berkata setiausaha sulitnya, Shukri Saad akan membuat laporan polis berhubung perkara itu manakala peguam Ramkarpal Singh akan menghantar surat tuntutan kepada Yusoff.

"Tindakan yang dilakukan ini adalah muslihat menjatuhkan imej saya menjelang Kongres Nasional Keadilan ke-14 dan proses peralihan kuasa pimpinan negara," katanya.

Yusoff semalam membuat dakwaan itu melalui suatu Akuan Berkanun yang  dibacakan dalam satu sidang akhbar semalam. 

Rakaman video lapan minit sidang media itu turut disiarkan di sebuah halaman Facebook.

Yusoff mendakwa menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di kediamannya di Segambut.

Yusoff mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari kelima kempen PRK Port Dickson. 

Anwar ketika itu merupakan calon PH dan kemudiannya memenangi pilihan raya kecil parlimen itu.

Dalam video itu Yusoff berkata dia telah memberitahu kepada bekas pemimpin PKR, Badrul Hisham Saharin yang mencadangkan dia merekodkan pengalamannya dalam Akuan Bersumpah.

Beliau juga mengadu bahawa laporan polis yang dibuat terhadap setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kerana menyerangnya pada  16 Mei di pejabat Anwar di Petaling Jaya, telah diabaikan.

Farhash bagaiamanapun mendakwa Yusoff telah dimanipulasi oleh Badrul Hisham, yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Selain itu, datuk saudara Yusoff, Mohideen Abdul Kader juga mendakwa pemuda itu telah dimanipulasi oleh ahli politik berkenaan.

Dalam sidang media di Gombak hari ini, bekas pemimpin PKR, Badrul Hisham Saharin menafikan dakwaan penglibatannya.

“Saya menafikan yang saya terlibat, saya (menafikan) menyusun atur,” katanya.

Tahu isu seks sejak bulan lalu

Sementara itu, Anwar ketika sidang media di lobi perlimen tengah hari ini berkata beliau sudah mengetahui mengenai isu itu sejak bulan lalu.

Jelasnya, beliau tidak terkejut dengan politik kotor yang didakwanya sudah menjadi tradisi di negara ini .

“Saya tidak terkejut kerana tahap politik kotor yang dimainkan dan menjadi sebahagian tradisi di negara ini sangant menjijikkan.

“Saya telah dengar (isu seks) ini bulan lalu bukan baru dan cubaan untuk mempengaruhi atau rasuah apa saja. 

"Ini adalah politik di tahap buruk dan memerlukan ketabahan dan keberanian untuk dengan agenda yang lebih besar,” katanya.

Ditanya pemberita adakah perkara tersebut mencemarkan nama baiknya, Anwar menjelaskan perkara itu sudah biasa dalam perjalanan politiknya. 

Lihat Komen
ADS