Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warisan, PH Sabah nafi dasar k'jaan utamakan pendatang asing

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Darell Leiking menafikan dakwaan pimpinan Umno negeri itu yang menyifatkan bahawa dasar kerajaan pimpinan PH dan Warisan lebih memihak kepada pendatang tanpa izin.

Kata Darell, Warisan kini sedang menyelesaikan masalah yang dihadapi berkenaan pendatang asing dan menggesa supaya pimpinan itu diberikan peluang bagi membetulkan keadaan.

“Mereka (Umno Sabah) membuat dakwaan tidak benar, Warisan sedang menyelesaikan masalah (pendatang asing) yang telah berlarutan.

“Berilah kami peluang untuk membetulkan keadaan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambah Darell, Umno Sabah juga perlu sertakan bukti bersama dakwaan yang diperkatakan terhadap pimpinan partinya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Sabah Aziz Julkarnain menyifatkan bahawa dasar kerajaan negeri Warisan dan PH lebih mesra dengan pendatang asing membuatkan rakyat Negeri di Bawah Bayu itu mula gusar.

Jelas Azis, ekonomi Negeri Sabah itu juga turut merudum selepas pertukaran tampuk kepimpinan.

"Rakyat di Sabah sedang gusar, sedang gundah gulana dengan dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan Warisan dan PH yang lebih mesra kepada pendatang tanpa izin.

"Mutakhir ini juga ekonomi Sabah juga terus merudum," katanya yang berucap di Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-73 di PWTC pagi tadi.

Sementara itu, Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin yakin bahawa dakwaan tersebut hadir susulan Pas Sementara Sabah (PSS) yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri.

Jelas anggota parlimen Kota Kinabalu itu, motif utama PSS dilaksanakan adalah untuk mengurangkan jumlah pendatang tanpa izin yang ada di Sabah.

“Saya yakin mereka rujuk kepada polisi dan dasar yang akan kerajaan negeri buat iaitu Pas Sementara Sabah.

“Ia merupakan satu sistem yang akan bantu menyelesaikan masalah jumlah pendatang asing di sini (Sabah),” katanya juga ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambah Chan, pas berkenaan tidak bererti PH serta Warisan mengutamakan pendatang tanpa izin.

“Perkara ini (PSS) tidak bawa maksud kita tidak lihat isu rakyat Sabah, perkara ini kalau kita tak buat macam mana kita nak maju ke depan untuk penyelesaian isu pendatang asing,” katanya.

Tambah Chan lagi, perkara ini telah dijadikan satu isu untuk dipolitikkan oleh pihak pimpinan Umno Sabah.

Untuk rekod, pada 7 September lalu, Chan menjelaskan inisiatif kerajaan melaksanakan PSS bagi menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci, dan Kad Burung-Burung, adalah langkah permulaan yang secara tidak langsung membantu membersihkan daftar pemilih di negeri Sabah.

PSS dikeluarkan bagi memastikan rekod warga asing di Sabah dapat diseragamkan dan ia juga hanya sah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui pada harga RM120.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Haris Alimudin juga berkata keputusan melaksanakan PSS dapat membantu kerajaan menangani isu pemalsuan dokumen yang membelenggu Sabah sejak sekian lama.

Lihat Komen
ADS