Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perwakilan Umno Sabah: Dasar k'jaan Warisan mesra pendatang asing

Umno Sabah mendakwa dasar baru Parti Warisan Sabah dan PH di negeri itu lebih memihak kepada pendatang tanpa izin dan menyebabkan rakyat gusar.

Mengambil pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-73 di PWTC hari ini, perwakilan dari Sabah, Abdul Aziz Julkarnain, berkata ekonomi Negeri di Bawah Bayu itu juga turut merudum selepas pertukaran tampuk kepimpinan.

"Rakyat di Sabah sedang gusar, sedang gundah gulana dengan dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan Warisan dan PH yang lebih mesra kepada pendatang tanpa izin.

"Mutakhir ini juga ekonomi Sabah juga terus merudum," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi pemimpin Warisan dan PH Sabah bagi mendapatkan reaksi berhubung dakwaan berkenaan.

Mengulas perkembangan lain, Aziz berkata adalah penting untuk Umno mencipta kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang bakal diadakan nanti.

Jelasnya, walaupun sedar laluan sukar untuk memenangi kerusi Kimanis, namun Umno tiada pilhan selain terus mencipta kemenangan.

"Menang (atau) kalah perjuangan harus diteruskan, inilah Umno parti keramat, kalah menang perjuangan tetap konsisten.

"Kalah menang tidak penting, yang penting kita perlu menang di Kimanis," katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lalu, mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU ke-14.

Ini bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan di kawasan parlimen yang terletak di Sabah itu.

Sementara itu, Anggota Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor menjadi wakil rakyat orang Asli pertama tampil berbahas di pentas PAU kali ini.

Ramli berkata, beliau yang menjadi orang Asli pertama menjadi wakil rakyat diangkat melalui proses demokrasi akan terus istiqamah dengan perjuangan Umno.

Katanya lagi beliau hanyalah "ahli bishe-bishe" Umno Cameron Highlands.

"Saya ahli Umno keturunan orang Asli pertama yang berucap di PAU 2019. Terima kasih presiden Umno atas kepercayaan kepada saya.

"Saya ingin tegaskan saya tidak akan persiakan amanah yang diberikan pada saya dan saya teguh pada perjuangan Umno," katanya.

Lihat Komen
ADS