Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC S'wak kecam presiden, setiausaha agung jumpa Dewan Negara
Diterbitkan:  Dec 11, 2019 1:33 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Andrew Lo telah membidas presiden dan setiausaha agungnya ekoran mengadakan pertemuan dengan Dewan Negara.

Pertemuan itu berhubung cadangan pindaan terhadap Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) 1967.

"MTUC Sarawak berasa sangat terganggu dengan presiden, Abdul Halim Mansor dan setiausaha agung, J Solomon yang memberikan pandangan peribadi mereka mengenai MTUC dan golongan pekerja.

"Pandangan mereka bersifat kepentingan sendiri dan memberikan gambaran salah mengenai pandangan MTUC. Pemimpin-kesatuan yang bijak seharusnya memberi tumpuan untuk menyertakan 98 peratus pekerja ke dalam kesatuan (unionised) dan bukannya bergantung kepada sistem yang tidak berfungsi,” kata Lo dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat berikutan pertemuan antara kepimpinan MTUC dengan anggota Majlis Senat Kebangsaan Isnin lalu, dalam usaha memujuk Dewan Negara untuk menolak Rang Undang-undang Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLR), yang didakwa akan membunuh kesatuan sekerja di negara ini.

Mereka mengemukakan laporan terperinci mengenai beberapa cadangan pindaan dan meminta RUU itu dihantar semula kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) untuk diteliti sebelum dibentangkan semula pada sidang Parlimen akan datang.

Pada 3 November lalu, Salomon membidas Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkenaan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, yang antara lain akan membolehkan penubuhan lebih daripada satu kesatuan di tempat kerja.

J Solomon (dua dari kiri)

Menurut Solomon, ia akan "mewujudkan perpecahan dalam pergerakan buruh serta melemahkan kuasa menawar pekerja dan kesatuan. "

Lo pula mengemukakan pandangan bertentangan, iaitu MTUC Sarawak menuokong sepenuhnya pindaan IRA kerana ia mengandungi banyak penambahbaikan kepada pekerja dan akan membuka jalan ke arah ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Antarabangsa Buruh 87 (C87), yang merangkumi hak kebebasan berpersatuan.

“Antara faedah lain dalam rang undang-undang ini adalah rayuan terus ke Mahkamah Tinggi yang akan memudahkan pekerja mencabar keputusan Mahkamah Perindustrian, dan dengan kos lebih murah.

"Selain itu, tiada had pampasan bagi kes berkaitan kesatuan dan penyingkiran kuasa menteri untuk membenarkan rujukan secara automatik ke Mahkamah Perusahaan," kata Lo.

Lo yang juga ketua eksekutif Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU), menambah bahawa di bawah pindaan itu, majikan perlu membayar penalti dan faedah yang lebih tinggi jika tidak mematuhi perintah mahkamah.

Beliau menekankan bahawa Uni Malaysia Labour Centre, yang mewakili 104 kesatuan dan Labour Reform Coalition yang terdiri daripada 54 kesatuan dan NGO, juga menyokong pindaan tersebut.

Beliau juga mendakwa MTUC belum mengadakan mesyuarat am sejak pemilihan pada 2016.

“Mesyuarat am merupakan autoriti tertinggi dalam MTUC dan merangkumi semua bahagian dan kesatuan yang bergabung di bawahnya, dan perlu diadakan sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

"Oleh itu, pandangan dan tindakan Halim dan Salomon tidak boleh dianggap bagi pihak MTUC, kerana tidak senada dengan resolusi yang diterima pakai oleh Triennial Delegates Conference, badan pembuat keputusan tertinggi dalam MTUC," dakwanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS