Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iklan aplikasi 'sugar daddy': Yayasan WP beri surat tunjuk sebab, panggil operator iklan

Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berkata telah mengambil tindakan segera susulan mendapat aduan berhubung paparan iklan iklan aplikasi 'dating' atas talian SugarBook.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat CEO YWP, pihaknya telah mengeluarkan notis amaran dan surat tunjuk sebab kepada syarikat operator yang mengendalikan papan iklan terlibat.

Menurut kenyataan itu lagi, YWP juga telah mengarahkan syarikat operator agar menghentikan paparan visual iklan itu dengan kadar segera.

“Pada jam 9.45 malam, berdasarkan pemeriksaan oleh YWP di lokasi-lokasi yang berkenaan, mendapati paparan visual tersebut telah dihentikan dan diturunkan sebagaimana arahan yang dikeluarkan.

“YWP juga telah mengambil tindakan memanggil syarikat operator tersebut dan memberikan notis amaran serta surat tunjuk sebab kepada pihak syarikat pada 18 Disember 2019,” kata kenyataan itu.

Sugarbook ialah aplikasi 'dating' atas talian yang diasaskan di Malaysia yang dikatakan menghubungi "sugar daddy" atau "sugar mommy" denga "sugar baby" di seluruh Asia.

"Sugar daddy" atau "sugar mommy" biasanya merupakan lelaki atau perempuan yang berusia yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda - "sugar baby" - sebagai pertukaran kepada perhubungan.

Terdahulu DBKL dalam kenyataan berkata papan iklan itu adalah milik YWP yang melantik syarikat Out Of Home sebagai operator.

DBKL juga berkata iklan itu yang dipaparkan di papan iklan di Bangsar dan Mont Kiara tidak pernah mendapatkan kelulusan pihaknya mahupun YWP dan telah mengarahkannya ditarik balik.

Menurut laman Facebook Sugarbook, iklan tersebut - yang pertama kali dibuat - mula dipaparkan pada 3 Disember.

Sementara itu, pengasas dan CEO Sugarbook Darren Chan berkata pihaknya mendapat makluman yang salah daripada syarikat penerbitan iklan berhubung kelulusan yang perlu didapatkan untuk pemaparan iklannya.

Dia berkata iklan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk aplikasi itu telah mendapat kelulusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"...Kami dimaklumkan bahawa kelulusan ini...hanya satu-satunya kelulusan yang diperlukan. Jelas kami telah mendapat nasihat yang salah," katanya, sambil menambah gesaan agar syarikatnya diharamkan sebagai tidak adil.

Lihat Komen
ADS