Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Iklan aplikasi 'sugar daddy': 'Pegawai DBP ingat buku kekeluargaan'

Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata badan itu hanya menyemak iklan aplikasi 'dating' atas talian SugarBook dari sudut penggunaan bahasa Melayu.

Pada masa sama Abang Sallehuddin berkata pihaknya hanya menerima teks iklan dan sekeping gambar sahaja untuk disemak.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan kenyataan CEO SugarBook Darren Chan bahawa iklan aplikasi itu mendapat kelulusan DBP dan mendapat makluman yang salah daripada syarikat penerbitan iklan sehingga menyangka ia "hanya satu-satunya kelulusan yang diperlukan".

"Betul kita luluskan (ayat pada iklan) 'di sinilah bertemunya yang cantik dan yang berjaya'. Kita semak bahasa sahaja, kandungan bukan kami yang pantau," kata Abang Sallehuddin ketika dihubungi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya sedar iklan itu boleh dianggap sensitif di kalangan masyarakat, beliau berkata pihaknya hanya menerima teks iklan dan sekeping gambar iaitu yang digunakan sebagai gambar utama dalam iklan bahasa Melayu aplikasi itu.

"Kami hanya terima sekeping gambar sahaja, pegawai (yang menyemak) menganggap ia buku kekeluargaan," katanya lagi, sambil menegaskan soal kandungan bukan di bawah bidang kuasa DBP, sebaliknya pihak berkuasa tempatan.

Gambar papan iklan yang memaparkan aplikasi 'dating' atas talian SugarBook mula tersebar semalam dan menerima bantahan ramai.

Hari ini DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya tidak pernah meluluskan iklan itu dan telah mengarahkan ia ditarik balik.

YWP - yang bertanggungjawab terhadap dua papan iklan yang terlibat - juga berkata telah memanggil dan memberi surat tunjuk sebab kepada operator iklan.

Sugarbook ialah aplikasi 'dating' atas talian yang diasaskan di Malaysia yang dikatakan menghubungi "sugar daddy" atau "sugar mommy" dengan "sugar baby" di seluruh Asia.

"Sugar daddy" atau "sugar mommy" biasanya merupakan lelaki atau perempuan yang berusia yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda - "sugar baby" - sebagai pertukaran kepada perhubungan.

Menurut laman Facebook Sugarbook, iklan tersebut - yang pertama kali dibuat - mula dipaparkan pada 3 Disember.

Lihat Komen
ADS