Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Ulama gagal fahami cabaran terkini, umat pula jahil
Diterbitkan:  Dec 18, 2019 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menganggap masalah yang dihadapi umat Islam ketika ini ialah kejahilan umat dan kegagalan ulama memahami cabaran semasa.

Membuat catatan panjang sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 anjuran kerajaan PH, Abdul Hadi mendakwa kegagalan tersebut menyebabkan umat Islam tidak dapat membawa agama yang sempurna menjadi petunjuk dan penyelesaian.

"Ramai kalangan umat Islam yang jahil agamanya sendiri, dan berlaku kelemahan para ulama memahami cabaran terkini, sehingga tidak berkemampuan membawa Islam yang sempurna menjadi petunjuk dan penyelesaian di sepanjang zaman.

"Masalah terkini yang dihadapi oleh umat Islam sebenarnya ialah mereka masih tidur dalam cahaya, dan orang lain pula sedar tetapi dalam kegelapan," katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Marang menambah, satu lagi kemelut yang membelenggu umat Islam ialah semangat kebangsaan dan kenegerian.

"Walaupun kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan, tetapi di atas semangat kebangsaan dan kenegerian masing-masing, kita terkurung dalam sempadan negeri dan otak dibelenggu kejahilan agama dan keadaan yang diwujudkan oleh penjajah," katanya.

Abdul Hadi sebelum itu mendakwa ada kalangan umat Islam yang sesat pemikirannya kerana berjuang menegakkan pelbagai ideologi serta teori Barat tetapi pada masa sama kuat beribadah.

Gelap, banyak menyesatkan

Katanya mereka masih tidak sedar sedang mundur dalam segenap lapangan walaupun mengalami kegagalan demi kegagalan.

"Adapun para ulama pada zaman mutakhir tidak bertafaqquh dalam ilmu agama, sehingga dihilangkan kemampuan melakukan kajian berijtihad, khususnya dalam masalah semasa yang tiada pada zaman dahulu.

"Sehingga masalah ibadah pun, masih tenggelam dalam perbalahan dan perpecahan kerana perkara cabang, bukannya perkara dasar ibadah dan rukun Islam dan iman, seperti masalah waktu niat, meletakkan tangan ketika solat, masa haid dan nifas dan sebagainya, selain perbalahan dalam perkataan istilah dan berbeza makhraj huruf yang diizinkan oleh sunnah Rasulullah SAW," katanya.

Menurut Abdul Hadi lagi, sebelum ini para ulama masih boleh berguru dan belajar sesama sendiri walaupun mereka mempunyai pandangan berbeza dalam sesuatu isu.


Baca Mahathir doktor, tahu mana nak kerat, mana nak jahit


Malah katanya mereka itu sedia bersembahyang dalam satu jemaah, selain berlajar bersama di majlis ilmu.

"Tetapi kini (mereka) berpecah mengikut kumpulan dan mendirikan masjid masing-masing sehingga ada yang berperang kerana mazhab di atas nama agama," katanya.

Di akhir catatan tersebut Abdul Hadi menggesa umat Islam "bangun" dan menyedari bahawa hanya Islam yang dapat menyelamatkan manusia.

"Wahai umat! Bangunlah melihat dalam cahaya yang satu daripada Allah.

"Semua yang lain daripada Islam adalah kegelapan yang banyak dan menyesatkan," katanya.

Lihat Komen
ADS