Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir doktor, dia tahu mana nak kerat, mana nak jahit - Hadi
Diterbitkan:  Nov 22, 2019 3:57 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang percaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu membuat “pembedahan besar” bagi merawat “penyakit” yang dideritai oleh kerajaan dan negara hari ini.

“Dia seorang doktor kan, dia tahu lah nak bedah kat mana, kalau jasad manusia.

"Ia macam penyakit kalau kita tahu penyakit dan kita tak ubat sekarang, jadi berjangkit lah. Penyakit berjangkit tu kena pula kalau perlu pembedahan, perlu buat pembedahan [...]

"Dia pula seorang ahli politik paling lama sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Jadi, dia boleh tengoklah mana yang kena kerat, mana kena bedah, mana yang kena jahit," katanya di Rusila seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas bayangan rombakan kabinet oleh Dr Mahathir susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) Sabtu lalu pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor.

Bagaimanapun, tidak seperti timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau enggan menamakan nama mana-mana menteri yang patut digugurkan.

"Dia sudah lama jadi perdana menteri dan saksikan mana anggota kabinet yang mampu menjalankan tugas, yang tak mampu menjalankan tugas, yang kuat dan yang lemah semua dia tahu. Terpulang kepada beliau untuk menentukannya.

"Dia sudah buat kenyataan perlu rombakan kabinet dan memang kita melihatnya perlulah. Perlu anak buah yang sesuai dengan dia untuk menjalankan tugas," katanya.

Diminta mengulas saranan Tuan Ibrahim agar Lim Guan Eng digugurkan kerana prestasi yang mengecewakan, Abdul Hadi mendakwa perkara itu sememangnya terzahir sekarang.

Bagaimanapun, bekas menteri Zaid Ibrahim mempertahankan Lim, dengan menyifatkannya sebagai antara “menteri yang lebih baik” di kalangan pemimpin PH, dan menuduh Tuan Ibrahim sebagai bersikap “memilih”.

Pada Rabu lalu, Abdul Hadi menegaskan sekali lagi sokongannya kepada Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal, dan menyifatkannya sebagai “kelapa tua” yang “makin tua makin menjadi”.

Hadi turut memberi jaminan bahawa semua 18 ahli parlimen parti itu akan tetap menyokong Dr Mahathir jika ada usul tidak percaya dibuat ke atasnya.

Dr Mahathir menerima tekanan ekoran kekalahan PRK Tanjung Piai, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai “referendum” ke atas kepemimpinannya.

Sesetengah pihak menggesanya untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa dan menyerahkan baton kepada presiden PKR Anwar Ibrahim.

Semalam, Dr Mahathir dan Anwar mengadakan pertemuan selama 30 minit di Putrajaya membincangkan beberapa perkara, antara lain, isu peralihan kuasa.

Menurut Anwar, beliau memaklumkan isu peralihan kuasa perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.

Mereka juga tidak bersetuju sekiranya ada usaha lain yang menyimpang dari persetujuan tersebut atau menggunakan namanya dan Mahathir Menteri dalam mana-mana muslihat lain.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS