Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayar cukai LHDN dan saya tarik balik saman, kata Deepak pada Najib

Ahli perniagaan Deepak Jaikishan berasa tidak kisah dengan permohonan untuk mengetepikan saman yang dibuatnya terhadap Najib Razak, Rosmah Mansor dan Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Deepak bersama adiknya, J Rajesh, serta syarikat mereka Carpet Raya Sdn Bhd, memohon perisytiharan mahkamah bahawa pasangan Najib dan Rosmah bertanggungjawab melangsaikan tunggakan cukai berjumlah RM6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Tak apa, mereka boleh ketepikan saman saya… Saya cuma harap walaupun mereka cuba ketepikan saman saya, saman yang mereka hadapi dengan LHDN tidak diketepikan dan mereka bayar RM1.8 biliion itu (sic).

“Jika mereka bayar RM1.8 bilion kepada LHDN, saya akan tarik balik saman saya, mereka tak perlu ketepikannya. Saya (pun) akan gembira demi negara ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Deepak kemudian menjelaskan bahawa dia merujuk kepada tuntutan cukai bernilai RM1.69 bilion oleh LHDN ke atas Najib dalam saman kerajaan terhadap bekas perdana menteri itu.

Deepak berkata demikian dalam temu bual bersama Malaysiakini yang dimintanya bagi mengulas akuan bersumpah (SD) bekas komando polis Azilah Hadri, yang mendakwa Najib mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Ada banyak saman dikemukakan

Najib, Rosmah dan Azeez memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman Deepak di mahkamah hari ini.

Deepak bersama dua lagi plaintif mendakwa, mereka bertindak sebagai ejen dan proksi kepada Najib serta Rosmah dalam traksaksi tanah dan urusan perniagaan lain seperti diarahkan oleh pasangan itu antara 2004 hingga 2010.

Dia dan plaintif lain turut mendakwa Abdul Azeez bertindak sebagai ejen kepada Najib dan Rosmah untuk melaksanakan transaksi itu dan bertindak sebagai perantara antara pasangan itu dan plaintif kedua, Carpet Raya.

Melalui transaksi itu, Deepak mendakwa LHDN menghantar surat kepadanya bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai syarikat Carpet Raya dan cukai individu berjumlah RM6 juta, tidak termasuk caj penalti dan faedah.

Plaintif-plaintif turut mendakwa mereka dikehendaki membayar tunggakan cukai tersebut secara ansuran selama 24 bulan, dari Jan 2018 hingga Dis 2019, selari dengan keputusan LHDN menerusi sepucuk surat bertarikh 21 September 2017.

Deepak mendakwa dia menerima surat daripada LHDN selepas hubungannya dengan pasangan itu menjadi keruh pada 2012 apabila enggan mengikut arahan mereka dalam kes sivil membabitkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam, dan mendakwa Abdul Azeez tahu mengenai perkara itu.

Mereka memohon perisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Rosmah bertanggungjawab membayar tunggakan cukai syarikat itu.

Mereka juga memohon ganti rugi RM500,000 yang dibayar kepada bank, ganti rugi RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat memenuhi kewajipan kontrak dan jualan, ganti rugi RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat dengan IKEA, RM200 juta atas dakwaan memfitnah, RM37 juta bagi kerugian disebabkan oleh tindakan Najib.

Selain itu, mereka juga memohon RM100 juta bagi ganti rugi teruk dan teladan.

Ini bukan satu-satunya tindakan undang-undang melibatkan mereka.

Antara saman lain ialah yang dikemukakan Deepak terhadap Najib dan Rosmah - berjumlah RM676 juta - bersama dua lagi syarikat atas dakwaan konspirasi dan pengaruh tidak wajar ke atasnya untuk tiga bidang tanah dekat Bukit Raja.

Satu lagi ialah saman RM52.6 juta oleh Deepak ke atas Najib dan Rosmah, mengenai kerugian yang didakwanya ditanggung akibat konspirasi, penipuan, salah laku dan salah guna kuasa dalam satu projek kondominium di Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS