Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tujuh ditahan bantah operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands

Seramai tujuh orang, termasuk bekas anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan ditahan polis susulan protes terhadap operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands.

Operasi yang dinamakan Operasi Lestari ini melibatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Sungai Inchat di Kuala Terla yang bermula sejak minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Ashari Abu Samah mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Turut ditahan Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, G Theeageesh bersama lima lagi pekebun.

Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 7 petang.

Nathan ketika dihubungi berkata, ahli-ahli MIC itu tiba ke Kuala Terla sekitar jam 10 pagi ini bagi menyatakan sokongan kepada pekebun di situ dan menghalang pihak berkuasa merobohkan kebun sayur mereka.

Disebabkan tindakan protes sambil duduk di tepi jalan besar yang mengakibatkan kesesakan jalan raya, polis menyuraikan mereka dan menangkap tujuh individu, katanya.

Sementara itu, Adun Tanah Rata dari DAP, Chiong Yoke Kong berkata, Ops Lestari hari ini adalah tindakan penguatkuasaan kedua selepas operasi pertama di Bertam Valley pada 18 Dis lalu.

Beliau menyatakan rasa kesal terhadap tindakan keras diambil kerajaan negeri Pahang terhadap pekebun-pekebun berkenaan tanpa menawarkan tanah alternatif kepada mereka.

"Insiden tersebut telah membangkitkan kemarahan dan ketidaktenteraman bukan sahaja pekebun-pekebun di Sungai Ichat tetapi semua pekebun di kawasan Cameron Highlands kerana tiada orang tahu sesiapa yang akan dimangsakan seterusnya.

"Sesungguhnya kerajaan negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk mengusir pekebun-pekebun di atas kawasan tadahan air itu, namun pihak kerajaan negeri perlu lebih berperikemanusian dan memberikan jalan keluar iaitu penempatan semula kepada pekebun-pekebun itu,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Sallehuddin Ishak berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat berdasarkan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat dipelihara.

Menurut kenyataan beliau awal hari ini, sebanyak 11 penerokaan terlibat bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan haram bagi peringkat kedua.

Katanya, keseluruhan kawasan terlibat adalah 121 hektar (300 ekar) di mana 24 hektar (60 ekar) bagi peringkat pertama dan 97 hektar (240 ekar) bagi peringkat kedua.

Tambahnya, tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009.

Lihat Komen
ADS