Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dong Zong: Acara 28 Dis bukan himpunan, hanya bincang isu Jawi

Kongres yang akan dianjurkan oleh Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) pada 28 Dis ini bukanlah satu protes tetapi perbincangan mengenai pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong berkata, perbincangan tersebut hanya dibuka kepada wakil-wakil NGO Cina dan bukannya kepada orang awam.

"Ini adalah pertemuan yang akan membincangkan mengenai topik pendidikan dan isu tulisan Jawi. Pertemuan (dipanggil) untuk menyatakan pendirian (NGO Cina), bukanlah perhimpunan kaum," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Low, dialog berkenaan hanya akan dilakukan di tingkat lima Kolej Universiti New Era, Kajang dan langsung tidak ada rancangan untuk para peserta keluar bagi mengadakan perhimpunan.

Dong Jiao Zong menerima kritikan selepas mengumumkan rancangannya untuk mengadakan Kongres Organisasi Cina pada 28 Dis ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa kongres Dong Jiao Zong itu akan membawa kepada kekacauan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menggesa kongres itu dibatalkan dan digantikan dengan sesi dialog.

Anwar berkata beliau bimbang tindakan berkenaan akan “menghangatkan suhu politik dan kaum” di negara ini.

Ketika ada yang menyokong hak Dong Jiao Zong menganjurkan kongres tersebut, pihak lain menggesa kongres itu dihentikan dan kumpulan pendidikan Cina itu diharamkan.

Mengakui ketegangan semakin meningkat berikutan pengumuman tersebut, Dong Jiao Zong memutuskan untuk menamakan semula acara itu sebagai Himpunan persatuan- persatuan Cina.

Low menjelaskan penamaan semula itu supaya tiada mana-mana pihak  menganggap kongres berkenaan bersifat anti-Jawi.

Beliau juga menafikan Dong Jiao Zong tunduk kepada tekanan sehingga menamakan semula acara itu.

"(Menamakan semula) adalah untuk menjelaskan definisi yang lebih jelas, ini kerana sesetengahnya memanggilnya sebagai perhimpunan atau protes atau apa sahaja nama yang tidak masuk akal," katanya.

Mengulas lanjut, Low berkata peserta persidangan itu perlu mendaftar dengan Dong Jiao Zong terlebih dahulu.

Beliau berkata penganjur menjemput banyak NGO Cina, termasuk beberapa NGO Melayu, India dan rakan-rakan dari Malaysia Timur.

Beliau berkata lebih 80 NGO bersetuju untuk hadir ke kongres tersebut Sabtu ini.

Terdahulu dilaporkan bahawa perjumpaan itu diadakan untuk membantah garis panduan terkini mengenai pembelajaran Jawi oleh Kementerian Pendidikan.

Tujuan persidangan ini adalah untuk meyakinkan kerajaan agar membatalkan pengajaran Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Garis panduan baru itu membenarkan ibu bapa membuat keputusan sama ada untuk meneruskan pembelajaran tersebut di sekolah.

Pembelajaran Jawi akan diteruskan jika lebih daripada separuh ibu bapa bersetuju.

Dong Jiao Zong tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana ia akan merosakkan hubungan antara ibu bapa dari pelbagai kaum yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah vernakular, terutama sekolah jenis kebangsaan Cina.

Ia menegaskan lembaga pengetua sekolah sepatutnya membuat keputusan mengenai pembelajaran berkenaan yang dijadualkan bermula tahun depan untuk murid-murid Tahun Empat.

Lihat Komen
ADS