Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemansuhan elaun: Persatuan doktor, jururawat mahu bincang dengan k'jaan

Pekerja sektor kesihatan awam menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dahulu dengan mereka berhubung pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Gesaan itu disuarakan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) hari ini.

Presiden MMA N Ganabaskaran berkata tiada perbincangan dengan pihaknya sebelum keputusan pemansuhan itu dibuat.

“Tiada perbincangan..Apabila perkara yang melibatkan kumpulan profesional dari sektor perubatan, lebih adil jika berbincang dengan kami terlebih dahulu. Kami bukannya orang yang sukar untuk dibawa berbincang.

“Banyak isu (berkaitan perubatan) yang dapat diselesaikan secara baik sebelum ini. Jadi perkara ini juga boleh diselesaikan dengan cara asma,” katanya yang ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pemansuhan itu - yang akan memberi kesan kepada penjawat awam profesional seperti doktor, jururawat, jurutera yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan - diumumkan menerusi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember.

N Ganabaskaran

Bayaran insentif perkhidmatan kritikal itu merupakan satu daripada sembilan elaun yang akan dihentikan pembayaran oleh kerajaan, termasuk elaun hiburan kepada setiausaha sulit, dan insentif kecekapan berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun, mereka yang sudah menerima elaun akan terus mendapat bayaran tersebut, termasuk pekerja kontrak yang kontraknya telah diperbaharui.

Menurut soalan lazim yang disertakan dalam pekeliling itu, BIPK mula diperkenalkan semasa Sistem Saraan Baru (SSB) pada tahun 1992 untuk penjawatan yang sukar dipenuhi, bagaimanapun tinjauan 2019 mendapati ia tidak lagi memenuhi kriteria tersebut.

Ganabaskaran yang membantah pemansuhan elaun itu berkata, ia tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan kos sara hidup yang meningat sekarang, apatah lagi menurutnya antara tujuan insentif itu pada asalnya ialah untuk menambah baik pendapatan bulanan mereka.

“Rasional di sebalik pemansuhan insentif ini susah untuk dihadam memandangkan sistem penjagaan kesihatan masih dalam keadaan kritikal untuk perkembangan negara kita dan pengurangan pendapatan akan membuatkan (keadaan menjadi) ketara.

“Kami gesa supaya kerajaan mempertimbangkan semula dan melibatkan persatuan-persatuan (yang berkenaan) apabila membuat keputusan yang melibatkan ‘periuk nasi’ penjawat awam," katanya lagi.

Nor Hayati Abd Rashid (tengah)

Sementara itu, Presiden MNU Nor Hayati Abd Rashid menggesa JPA menimbang semula keputusan itu dan mengembalikan elaun kepada bakal jururawat yang akan mula berkhidmat tahun depan.

"...Saya yakin pintu kerajaan sentiasa terbuka untuk perbincangan, seperti sebelum ini di mana kami telah terlibat dalam banyak perbincangan dengan jabatan kerajaan," katanya ketika dihubungi.

Pada masa ini, jururawat di hospital kerajaan dengan kelulusan diploma atau lebih tinggi menerima elaun bulanan sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada gaji asas.

Nor Hayati yang merupakan ketua jururawat di Hospital Teluk Intan, berkata pemansuhan itu akan mewujudkan diskriminasi antara jururawat baru dengan mereka yang telah lama berkhidmat dan masih menerima elaun itu.

"Bidang tugas sama. Jadi jika kakitangan sedia ada terus terima elain ini, tidak adil untuk mereka (jururawat baru).

"...Kami tidak mahu ada double standard di masa depan...Secara psikologi, ia akan mematahkan semangat mereka. Mereka juga mungkin letak jawatan (daripada perkhidmatan awam) untuk ke tempat lain (swasta)," katanya lagi.

Beliau berkata MNU pada masa ini memiliki 27,000 anggota, mewakili antara 40 hingga 45 peratus jururawat di perkhidmatan awam di Semenanjung Malaysia.

Khuatir ramai keluar daripada perkhidmatan

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat pula khuatir perkhidmatan awam negara akan ketandusan pakar-pakar perubatan dengan pemansuhan insentif ini.

Beliau bagaimanapaun mengakui tidak pasti sama ada pemansuhan elaun itu akan digantikan dengan insentif baru atau tidak kerana tidak diberi sebarang penerangan sebelum pekeliling itu dikeluarkan.

“Kami khuatir makin ramai pakar-pakar kerajaan terus keluar dari perkhidmatan dan ini boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Pelbagai insentif wajar dipertimbangkan untuk mengimbangi jumlah pendapatan bagi menghadapi kos yang semakin mendesak kepada penjawat awam, serta kuasa membeli yang semakin mengecil. Insentif ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang kini menggalas tugasan yang semakin mencabar dan kritikal," katanya lagi.

Hari ini Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan JPA dengan kadar segera bagi membincangkan perkara itu.

Menurutnya, pihak kementerian akan diwakili Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Lihat Komen
ADS