Ahli politik Msia bawa rombongan jumpa bomoh Indon
Khidmat bomoh politik bukan sahaja ditawarkan di negara ini, malah berleluasa di negara jiran. Bukan sahaja "bomoh Siam" digunakan malah "bomoh Indon" juga dicari.
Khidmat bomoh politik bukan sahaja ditawarkan di negara ini, malah berleluasa di negara jiran. Bukan sahaja "bomoh Siam" digunakan malah "bomoh Indon" juga dicari.
Gara-gara rakus mencari pengaruh, ada orang politik tempatan yang sanggup ke Indonesia untuk mendapatkan khidmat bomoh bagi mencapai hajat mereka dalam politik .
Salah satu lokasi popular di kalangan orang politik bagi mendapatkan khidmat bomoh ialah ialah Asahan, Sumatera.
Peniaga dari Medan, Basir Zakaria, 30, (foto) mendakwa, beliau dan kawannya pernah menguruskan pemergian beberapa tokoh politik Malaysia ke Asahan untuk mendapatkan khidmat bomoh.
Katanya, perkara itu berlaku beberapa minggu sebelum berlangsungnya pemilihan pucuk pimpinan Umno pada 2004.
Menurutnya, beliau telah diperkenalkan kepada tokoh politik berkenaan yang mahu mendapatkan khidmat bomoh kerana hendak bertanding satu jawatan penting dalam pemilihan berkenaan.
"Saya bersama beberapa rakan telah bertemu dengan tokoh politik berkenaan di pelabuhan Tanjung Balai, Sumatera dan membawanya ke Asahan yang jaraknya kira-kira 50 kilometer pelabuhan itu.
"Kami menyewa dua kereta untuk menemui bomoh berkenaan pada kira-kira jam 8 malam. Mereka membayar RM10,000 kepada bomoh berkenaan dan saya sebagai orang tengah mendapat sedikit upah," katanya yang kini berniaga secara kecil-kecilan di Kuala Lumpur.
Demam pemilihan Umno
Basir berkata, pada tahun lalu sekali lagi beliau menguruskan satu rombongan ahli politik Umno dari Selangor untuk bertemu dengan bomoh politik di Asahan.
Menurutnya, saban tahun menjelang musim pemilihan Umno dan pilihanraya umum ramai orang politik "melancong" ke Asahan.
Rakan Basir yang hanya mahu dikenali sebagai Hendra pula bercerita, kisah orang Umno mendapatkan khidmat bomoh di Indonesia bukan cerita baru.
Katanya, bukan sahaja di Asahan tetapi orang Umno turut pergi ke beberapa destinasi lain seperti Surabaya dan Pekalongan di pulau Jawa untuk mendapatkan khidmat bomoh.
"Mereka tidak kisah dengan upah asalkan hasrat mereka tercapai," katanya yang tidak mahu gambarnya disiarkan.
Hendra berkata, daripada maklumat yang diterimanya bomoh di Indonesia lebih murah serta lebih berkesan dan ini yang menarik minat tokoh politik Malaysia mendapatkan khidmat "bomoh Indon".
Katanya lagi, di negaranya memang terdapat ramai bomoh politik yang memberi khidmat kepada tokoh politik dalam setiap kali pilihanraya umum (Pemilu) Indonesia.
"Memang di Indonesia masyarakatnya tidak dapat dipisahkan dengan penggunaan bomoh dan kerana itu bomoh khusus untuk politik juga ada," katanya lagi.
Bahagian pertama: Peranan bomoh dalam politik Malaysia


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.