Dunia sudah memasuki alaf baru, teknologi semakin canggih namun satu perkara yang tetap tidak boleh dipisahkan dari kehidupan masyarakat Malaysia ialah peranan bomoh.

Bukan sahaja orang Melayu mempercayai bomoh, dukun atau pawang malah kaum-kaum lain juga mempunyai "tok bomoh" mereka sendiri, yang memainkan peranan besar dalam kehidupan kelompok masing-masing.

Terdapat pelbagai jenis bomoh. Bomoh politik, bomoh artis, bomoh bola, bomoh nombor ekor, bomoh urut, bomoh pengasih, bomoh pelaris dan pelbagai lagi. Semuanya mempunyai pengaruh dan peranan masing-masing.

Paling popular dan amat besar pengaruh serta peranannya ialah bomoh politik. Ini kerana orang politik Malaysia percaya peranan bomoh boleh membantu kerjaya politik mereka. Mereka percaya tok dukun dan tok pawang mampu melonjakkan mereka ke hiraki politik yang lebih tinggi.

Ramai orang politik Malaysia dari pelbagai kaum dan parti mempunyai bomoh atau dukun peribadi yang menjadi "penasihat" tidak rasmi mereka.

Hubungan bomoh dengan orang politik ini bukan cerita baru. Ia satu fenomena lama yang sukar dihapuskan. Selagi ada orang politik yang rakus mengejar kuasa, selagi itulah bomoh politik akan wujud. Soal bayaran atau "pengeras" adalah perkara kecil.

Sejauh mana berkesannya penggunaan bomoh dalam mencari dan mengekalkan pengaruh politik, tiada siapa yang tahu namun pada setiap pemilihan parti atau pilihanraya umum, khidmat bomoh semakin laris.

Orang Umno, orang PAS

Seorang bomoh politik yang terkenal, Awang Mohd Yahya, 50, (kanan bawah) mendakwa khidmatnya sering digunakan semasa berlangsungnya kempen pemilihan pucuk pimpinan Umno dan ketika pilihanraya umum.

"Orang-orang politik yang bercita-cita tinggi ini mahu bertanding dan mahu memastikan kemenangan. Mereka mahu orang ramai mendengar cakap mereka dan berharap dengan bantuan bomoh mereka akan dipilih dalam pertandingan Umno atau terpilih sebagai calon dalam pilihanraya," ceritanya.

Beliau mendakwa sebelum pemilihan Umno 2004 yang lalu ada beberapa orang calon jawatan tertinggi parti itu datang mendapatkan bantuannya.

"Bukan sahaja pemimpin Umno dan Pemuda Umno yang datang ke sini malah pemimpin Puteri Umno juga tidak ketinggalan," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Menurut beliau, mereka memenangi jawatan yang ditandingi itu.

Awang berkata, selain dari pemimpin Umno, orang PAS, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan orang Cina serta India juga ada datang mendapatkan khidmatnya.

Menurut Awang, tugasnya ialah untuk membantu orang politik yang menghadapi masalah seperti kehilangan sokongan atau parti yang dipimpinnya menghadapi krisis dalaman.

"Bukan semua bomoh boleh melakukan tugas tersebut melainkan mereka yang berpengalaman dan memang pakar dalam bidang ini," katanya lagi.

Awang yang sudah 30 tahun menjadi bomoh mendakwa telah pergi ke seluruh negara untuk memberi khidmat kepada orang-orang politik yang memerlukan khidmatnya.

Baru-baru ini beliau telah dipanggil oleh seorang tokoh politik di Kelantan untuk membantu menyelesaikan masalah yang berlaku dalam satu bahagian Umno di negeri itu.

Bomoh penipu

Namun beliau kesal kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai bomoh untuk menipu orang politik.

Menurutnya, apabila perkara ini berlaku orang tidak lagi mempercayai bomoh kerana masyarakat menganggap bomoh penipu.

Sehubungan itu, Awang mengingatkan orang politik supaya berhati-hati dengan bomoh tertentu terutama yang mengenakan bayaran tinggi dan tidak munasabah.

"Orang ramai tahu apabila pemimpin politik mahu bertanding dalam pilihanraya mereka sanggup mengeluarkan seberapa banyak wang dan ketika inilah bomoh palsu mengambil kesempatan," katanya lagi.

Seorang lagi bomoh, Abdul Rahman Ishak berkata, beliau mengenakan bayaran yang munasabah iaitu antara RM1,000 dan RM10,000 kepada orang politik yang mahukan khidmatnya.

Katanya, tugas yang selalu diterimanya ialah memenangkan tokoh politik yang bertanding dalam pilihanraya atau pemilihan parti.

Beliau berkata, tugas ini bukan mudah kerana tugas bomoh hanya berikhtiar dan bukan menentukan siapa yang menang atau kalah.

" Jangan silap faham, bomoh hanya berusaha mengikut caranya dan yang menentukan segala-galanya ialah Allah,"tegas bomoh Abdul Rahman.

.