Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Sepanjang termetarainya Perjanjian Damai Hat Yai 1989 sejak 30 tahun lalu, kerajaan Thailand disifatkan lebih bersungguh-sungguh memberi komitmen mereka.

Bekas pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD, melalui jurucakapnya Indrajaya Abdullah, berkata sekiranya disemak satu persatu, Thailand lebih bersungguh melaksanakan apa yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

"Kalau kita semak satu persatu, sekarang tinggal satu saja yang kerajaan Thailand belum laksanakan, tetapi ini ada sebab. Mungkin dalam setahun dua ini dapat terlaksana, iaitu masalah geran tanah.

"Dalam perjanjian, kami diberikan tanah dan kemudian akan beransur-ansur diberikan surat tanah hingga kepada geran tanah, jadi ini belum dilaksana, tetapi semua pemerintah Thailand mengakui hak milik kami dan ini sudah diakui.

"Selain itu kami dapat pelbagai bantuan seperti bantuan kepada pekebun getah dan petani.

“Kami semua menikmati kerana kami dapat surat jaminan daripada pihak yang mengurus bahagian Wilayah Selatan ini," katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumah Abdullah CD di Kampung Chulabhorn Patana 12, Sukhirin, Narathiwat, baru-baru ini.

Indrajaya Abdullah

Abdullah CD , pemimpin Rejimen ke-10 PKM yang kini sudah berusia 96 tahun dan mengalami masalah pertuturan, turut hadir menemani menantunya ketika wawancara berlangsung.

Sebelum ini, isu mengenai PKM kembali timbul selepas laporan mengenai abu mendiang bekas setiausaha agung PKM, Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia.

Ia disusuli pula dengan majlis memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai di sebuah kolej swasta di Kajang serta majlis sama, namun lebih meriah di Hat Yai, Thailand.

Perjanjian damai Hat Yai dimaterai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan Thailand, yang membawa kepada pembubaran parti itu dan peletakan senjata gerila komunis.

Perjanjian ditandatangani antara PKM, Malaysia dan Thailand, 30 tahun lalu

Ia juga membenarkan bekas anggota PKM diberi bantuan untuk memulakan hidup baru sama ada menetap di Malaysia atau Thailand.

Bagaimanapun ramai daripada mereka memilih untuk tinggal di Thailand, termasuk pemimpin-pemimpin kanannya seperti Abdullah CD sendiri, Chin Peng, dan Rashid Maidin.

Layanan sama rata, hospital percuma

Sementara itu, Indrajaya berkata, selepas memilih untuk bermastautin dan menjadi warganegara Thailand, mereka turut diberi layanan yang sama rata seperti rakyat lain.

"Macam sebelum kami mendapat taraf kewarganegaran belasan tahun dulu, hal-hal kebajikan yang diberikan kepada kami juga sama dengan rakyat Thailand yang lain.

“Tiada apa kekurangan. Misalnya pergi rawatan hospital percuma.

"Walaupun kita belum dapat taraf warganegara ketika itu, tapi tidak timbul masalah, dan kebebasan kami jalan ke sana ke sini semua tiada sekatan.

"Tidaklah macam di Malaysia itu. Waktu itu seperti apa yang saya dengarlah, bekas anggota-anggota kami yang balik Malaysia, kalau mahu keluar negeri mesti dapat surat kebenaran daripada (polis) Cawangan Khas, dan macam-macam. Di sini tiada.

"Jadi, saya kata kalau dibanding dengan kerajaan Malaysia, Thailand lebih bersungguh-sungguh,” jelasnya yang juga menantu Abdullah CD dan pengerusi Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai.

Ulang tahun 30 tahun perjanjian itu di Hat Yai pada 2 Disember lalu

Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai dianggotai bekas-bekas wakil yang terlibat dalam menjayakan Perjanjian Damai Hat Yai 1989 yang menamatkan perang Malaysia-PKM dan Thailand-PKM.

‘Masih IC merah’

Sementara itu, Indrajaya mengeluh terhadap nasib rakan-rakan seperjuangan mereka yang memilih untuk pulang menetap di Malaysia.

Katanya, sekitar 10 orang daripada mereka sehingga sekarang masih tidak diberi taraf warganegara.

Abdullah CD

"Setahu saya, kawan-kawan kami yang balik ke Malaysia, ada sejumlah lagi lebih kurang 10 orang sampai sekarang tidak diberi hak warganegara, masih kad pengenalan merah lagi.

"Walaupun sebenarnya mereka jelas adalah orang Malaysia, yang lain saya pun tak mahu cakap banyaklah.

“Sebab itu macam saya cakap hari itu suasana politik dan masyarakat agak berbeza antara Malaysia dan Thailand," kata Indrajaya.


Bahagian 1: Kerana pendamaian, nyawa tak lagi terkorban - bekas ahli PKM
Bahagian 2: Parti Komunis dan DAP itu sama? Lucunya, kata Abdullah CD

Lihat Komen
ADS