Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam tegur polis 'tunduk' pada ancaman keganasan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap tindakan polis yang didakwa “tunduk” kepada pihak yang mahu mencetuskan keganasan.

Ia susulan pembatalan persidangan bersama organisasi Cina anjuran Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mendapat tentangan keras daripada beberapa kumpulan Melayu.

Program itu dirancang untuk diadakan di Kajang pada kelmarin namun dibatalkan selepas polis berjaya mendapatkan perintah mahkamah ke atas penganjurannya.

Kata Suhakam, mereka memandang serius tindakan kerajaan yang boleh dianggap menafikan hak Dong Zong.

“Tindakan pihak berkuasa yang tunduk kepada mereka yang mencetuskan keganasan dibimbangi boleh menyebabkan pencabulan hak asasi manusia,” kata badan itu dalam satu kenyataan.

Dua hari sebelum penganjurannya, beberapa NGO mengecam persidangan tersebut, dan ada yang mengancam untuk mengadakan perhimpunan balas sekiranya Dong Jiao Zong (Dong Zong dan Jiao Zong) meneruskan persidangan mereka.

Bagaimanapun, susulan perintah mahkamah oleh polis, rancangan itu turut dibatalkan sehari kemudian.

Kata Suhakam lagi, persidangan Dong Zong dan tunjuk perasaan oleh penentang-penentangnya harus dibenarkan untuk diteruskan bagi memenuhi hak kebebasan berhimpun dan bersuara.

Polis pula, kata suruhanjaya tersebut, sepatutnya memastikan aktiviti berkeanan berjalan dengan selamat.

Tambah Suhakam, perkara itu amat penting bagi merealisasikan amalan demokrasi yang bebas dan terbuka di negara ini.

“Suhakam turut berharap agar pihak polis akan membuat siasatan sepenuhnya terhadap ancaman keganasan kerana ia boleh menjurus kepada tercetusnya kebencian, rusuhan serta mengancam kedaulatan undag-undang di negara ini,” katanya lagi.

Setiausaha Agung Dong Zon Ng Chai Heng mengakui bantahan terhadap pengajaran Jawi di sekolah vernakular bukan kerana takut kepada tulisan itu, tetapi wujud ketakutan bahawa murid-murid “diislamkan” melalui tindakan tersebut.

Dong Jiao Zong tidak bersetuju dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyerahkan keputusan berkenaan pengajaran Jawi di sekolah vernakular di tangan ibu bapa dan Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG).

Sebaliknya, mereka mahu peranan memutuskan hal berkenaan diserahkan kepada pihak lembaga sekolah. 

Lihat Komen
ADS