Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO batal himpunan protes Dong Zong
Diterbitkan:  Dec 27, 2019 9:13 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

NGO yang sebelum ini merancang mengadakan himpunan protes terhadap kongres tulisan Jawi anjuran Dong Jiao Zong esok, telah membatalkan hasrat itu.

Keputusan Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu susulan perintah mahkamah agar kongres tersebut tidak diteruskan.

Perintah mahkamah itu diserahkan kepada Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) petang tadi. Kongres itu anjuran bersama Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Presiden Agra Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, mereka juga akan membatalkan himpunan mereka demi kepentingan awam.

"Dalam pada itu, kami akan terus memantau perkembangan Dong Zong esok sama ada benar mereka tidak melanggar perintah mahkamah. Jika ada tingkah yang mencurigakan, Agra dan gabungan akan bertindak," katanya dalam kenyataan.

Ashraf menyifatkan Dong Zong sebagai biadab kerana hanya membatalkan kongres tersebut - untuk membincangkan pengajaran tulisan Jawi kepada murid sekolah vernakular - di saat akhir selepas mendapat perintah mahkamah.

Polis hari ini mendapat perintah mahkamah untuk membatalkan penganjuran kongres itu, yang diserahkan kepada Dong Zong petang tadi.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, perintah mahkamah dikeluarkan kerana mendapati program itu berisiko mencetuskan ketegangan.

"Oleh yang demikian, kehadiran kamu di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang pada 28 Disember 2019 (Sabtu) adalah dengan ini dilarang, dan kamu diberi amaran agar tidak berada atau berkumpul atau mengambil apa-apa bahagian dalam persidangan itu," menurut dokumen itu.

Dong Zong berkata pihaknya menghormati perintah mahkamah itu dan akan membatalkan program tersebut.

Sementara itu, Presiden GPMS Alif Anas Md Noor menyambut baik seruan polis agar sebarang program berkenaan kongres tulisan Jawi itu, termasuk himpunan untuk membantahnya, tidak diadakan.

"GPMS akan terus menjadi pemerhati rapat terhadap isu bantahan tulisan Jawi oleh Dong Zong.

"GPMS sekali lagi memberi arahan agar mereka jangan memulakan api pertelingkahan. Jika tidak, kami dan NGO lain akan mengambil tindakan drastik...termasuk dengan gerakan menuntut pengharamannya," katanya lagi.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan menetapkan pengajaran tulisan Jawi hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Bagaimanapun Dong Zong bertegas mahu Lembaga Pengelola Sekolah dilibatkan dalam proses membuat keputusan berhubung pengajaran itu, yang dijadual dimulakan tahun depan untuk murid tahun empat.

Lihat Komen
ADS