Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ERC cadang ganti sistem pilihan raya dengan sistem 'perwakilan berkadar'

WAWANCARA | Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) akan mengusulkan kepada kerajaan untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada, dari sistem pemenang undi terbanyak (FPTP) kepada sistem perwakilan berkadar (PR) untuk kerusi parlimen.

Pengerusi ERC, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, hal itu kerana sistem PR lebih adil dan demokratik, selain menggalakkan parti politik untuk melebihkan khidmat mereka kepada rakyat selain menjadikan mereka lebih bersatu-padu.

“Selepas melihat sistem demokrasi maju di seluruh dunia, kami perasan bahawa meskipun kita selalunya mengundi untuk calon, tetapi di akhirnya, ia tetap tentang parti yang memerintah sesebuah negara.

“Jadi kami rasa kita perlu meniru apa yang diamalkan oleh negara-negara maju, dan kebanyakan daripada mereka guna sistem yang dikenali sebagai perwakilan berkadar,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya.

Tambahnya, PR merupakan tawaran terbaik dan “paling adil” buat masa sekarang.

“Kamu (sepatutnya) membentuk kerajaan kerana kamu popular, bukan kerana sistem yang memberi kamu kelebihan untuk mendakwa diri kamu popular, sedangkan kamu tak popular,” tambahnya lagi.

Di bawah sistem PR yang dicadangkan untuk kerusi parlimen, Abdul Rashid berkata pengundi tidak akan lagi mengundi untuk calon-calon bagi kawasan parlimen.

Sebaliknya, pengundi akan mengundi parti politik yang menjadi wakil negeri dan wilayah di Dewan Rakyat.

Setiap negeri dan wilayah akan mempunyai jumlah tetap bagi kerusi Parlimen, seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 46 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Parti politik kemudian akan diberikan kerusi di bahagian tertentu berdasarkan peratusan undi yang mereka terima dalam pilihan raya.

Misalnya, jika tiga parti bertanding untuk 31 kerusi parlimen di Sarawak, kerusi akan diagihkan kepada parti tersebut secara berkadar.

Sementara itu, parti-parti itu juga akan tampil dengan senarai calon dari parti mereka, yang diatur mengikut urutan berdasarkan keutamaan. Calon-calon ini akan mengisi kerusi dari parti yang menang.

Abdul Rashid juga berkata ahli parlimen tidak akan lagi mewakili kawasan pilihan raya. Sebaliknya, wakil rakyat akan mewakili negeri atau wilayah masing-masing.

Untuk membentuk kerajaan, sesuatu parti atau gabungan itu perlu menguasai sekurang-kurangnya separuh daripada kerusi di Dewan Rakyat.

"(Sistem PR yang kami cadangkan) mungkin sedikit berbeza daripada apa yang dilakukan di negara lain bagi sistem yang sama, tetapi kita mempunyai kelainan.

“Kita mempunyai kerusi parlimen yang diperuntukkan kepada negeri-negeri (berdasarkan) dalam Perlembagaan kita. Seperti di kebanyakan negara, mereka tidak mempunyai negeri (untuk diperuntukan bagi kerusi parlimen).

“(Tetapi) yang ini (yang dicadangkan), kita perlu menghormati peruntukan yang diberikan kepada setiap negeri dalam Perlembagaan," kata Abdul Rashid.

Beliau juga menegaskan bahawa ERC memperakui bahawa Malaysia mempunyai tiga unit politik iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan mereka tidak akan disatukan bersama di bawah cadangan tersebut.

"Kita mesti menghormati Perjanjian Malaysia yang telah dipersetujui sebelum ini pada tahun 1963 ketika mereka masuk,” katanya.

Di bawah sistem PR ini, Abdul Rashid berkata parti-parti setempat atau parti minoriti masih berpeluang memenangi kerusi, selagi mereka mencapai bilangan undi tertentu, sebagai contohnya, lima peratus undi.

"Kami akan dapatkan parti yang lebih kecil juga akan mempunyai perwakilan mereka di Parlimen, dan kami dengan bebas mengatakan, peruntukan kerusi untuk Orang Asli," katanya.

Abdul Rashid berkata sistem PR adalah lebih baik berbanding sistem FPTP kerana ia tidak akan mensia-siakan undi dalam pilihan raya.

Ia juga tidak akan menyebabkan timbul situasi di mana sesuatu parti yang kalah undi popular, tetapi masih mampu memperoleh undi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

"Dalam sistem terdahulu, contohnya pada pilihan raya umum ke-13, terdapat satu parti meraih 48 peratus undi tetapi mempunyai lebih banyak daripada kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

"Satu lagi parti mendapat lebih daripada 50 peratus undi tetapi tidak dapat membentuk kerajaan.

"Jadi, dalam erti kata lain, yang kurang popular akan dapat membentuk (kerajaan), manakala (undi) yang popular diabaikan, yang bermaksud undi dari undi popular adalah undi yang sia-sia.

"Kami memilih ini (sistem PR) kerana ia tidak membazirkan undi rakyat. Kami mahu semua undi dipertimbangkan, semua undi akan bertukar menjadi kerusi," katanya.

Parti juga boleh berubah di bawah sistem yang dicadangkan ini, katanya, memandangkan parti politik akan digalakkan supaya berbilang kaum dan lebih bersatu.

Mereka juga perlu bekerja lebih keras berkhidmat untuk rakyat supaya mendapat sokongan majoriti, katanya.

"Saya fikir jika anda ingin bertahan sebagai sebuah parti, jika anda mahu orang mengundi parti anda dan jika cita-cita anda untuk membentuk kerajaan, anda mesti mempunyai gabungan parti yang mewakili semua komuniti, bukan hanya satu atau dua,” katanya.

Jelasnya, parti berdasarkan kaum akan kalah kerana katanya ia mungkin boleh membantu meraih undi di kawasan-kawasan tertentu tetapi ia belum tentu dapat membawa kerusi yang mencukupi untuk parti tersebut.

Tidak akan ada pilihan raya kecil di bawah sistem yang dicadangkan ini, yang akan membuatkan kerajaan menjadi lebih stabil, katanya.

Sistem PR yang dicadangkan, yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi, akan hanya mempengaruhi kerusi parlimen, kata Abdul Rashid.

Kerusi-kerusi negeri, katanya, akan mengekalkan sistem FPTP sedia ada, iaitu mana-mana calon yang mendapat majoriti undi mudah di kawasan pilihan raya akan memenangi kerusi itu dan seterusnya, mana-mana pihak yang mendapat undi majoriti mudah akan menang negeri itu.

“Rakyat memerlukan wakil rakyat yang dipilih berada di kawasan untuk pelbagai bantuan, jadi pemenang akan menjadi pegawai kebajikan.

"Sebahagian daripada tanggungjawab kepada rakyat adalah kebajikan, jadi fungsi kebajikan itu masih diperlukan, kita tidak akan sentuh itu,” katanya.

Mendidik para pengundi dan meningkatkan kesedaran mereka tentang sistem PR yang dicadangkan ini sangat penting, kata Abdul Rashid.

Bagaimanapun, menurutnya, usaha itu memerlukan bajet dan oleh itu, pelaksanaannya akan terserah kepada kerajaan.

ERC bersedia menyampaikan laporan interimnya kepada perdana menteri dan melengkapkan tugasannya, katanya.

"Saya sangat bimbang untuk habiskan semua ini, tetapi jika kita diminta untuk kembali dan melakukan pelaksanaan yang sepatutnya, jadi tidak mengapa, kita akan melakukannya," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS