Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gamis sambut tahun baru anjur himpunan pertahan tulisan Jawi

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) merancang mengadakan perhimpunan mempertahankan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular pada hari pertama tahun baru esok.

Gamis dan beberapa NGO lain dijangka akan berhimpun dari Masjid Jamek ke Pusat Beli Belah Sogo di pusat bandar pukul 2 petang esok.

Ini disahkan oleh Timbalan Presiden Gamis Mohd Zofrie Zulhilmie Ruslee kepada Malaysiakini, yang berkata bahawa cadangan mengadakan perhimpunan tercetus susulan kritikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terhadap NGO itu minggu lepas.

"Kami merancang himpunan ini kira-kira seminggu yang lalu, selepas Lim Kit Siang membuat kenyataan terhadap kami.

"Agenda utama adalah mempertahankan Jawi, diikuti gesaan mengharamkan Dong Zong.

"Insya Allah, kita akan disertai oleh beberapa NGO lain," katanya.

Minggu lepas, Lim menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Gamis ekoran kenyataan NGO itu berhubung Dong Zong.

Gamis mencetuskan kontroversi selepas memuat naik poster yang mengandungi tajuk utama: "Ayuh bersama Dong Zong, ulangi peristiwa 13 Mei, 1969."

Susulan kritikan daripada pelbagai pihak, Gamis mengubah tajuk poster itu menjadi "Ayuh bersama Dong Zong, jangan ulangi peristiwa 13 Mei 1969."

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanthan, ketika dihubungi berkata, Gamis belum memberitahu polis tentang perhimpunan yang akan diadakan mereka.

"Kami belum diberitahu .. jika mereka (Gamis) meneruskan perhimpunan, itu bermakna mereka akan melanggar Akta Perhimpunan Aman.

"Kami akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perhimpunan mesti mendapat kebenaran daripada pemilik tempat himpunan dan memaklumkan kepada polis lima hari sebelum ia diadakan.

Lihat Komen
ADS