Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jomo, bekas VC UKM dicadang ganti tempat Maszlee
Diterbitkan:  Jan 3, 2020 6:29 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Kumpulan pensyarah IPT, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mencadangkan dua nama yang wajar dipertimbangkan bagi menggantikan Dr Maszlee Malik yang melepaskan jawatan menteri pendidikan semalam.

Gerak menamakan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram dan bekas naib canselor UKM, Mohd Sham Mohd Sani sebagai pengganti yang sewajarnya.

"Gerak percaya pendidikan perlu dinyahpolitikkan (depoliticisation), untuk menjadikan kita lebih bersedia menghadapi dunia yang cepat berubah dan mencabar ini.

"Sementara ramai yang riuh menuntut ahli politik lapuk dengan ijazah palsu dilantik sebagai menteri pendidikan seterusnya, Gerak akan mencadangkan hanya dua nama – Jomo KS dan Sham Sani. Kedua-duanya ialah tokoh intelektual besar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang akademik.

"Kedua-duanya, kami yakin, dapat membuang hadangan serta golongan pak turut politik dan agama lantas membawakan reformasi tulen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jomo seorang professor dan begitu juga Sham, seorang profesor emeritus merupakan ahli akademik terkemuka negara.

Jomo pernah menjadi sebahagian daripada anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang memberi nasihat kepada PH selepas mengambil alih pentadbiran dan Sham kini berkhidmat sebagai pro-canselor di City University, sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Sham juga pernah menganggotai Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah yang menasihati SPRM.

Semalam, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan menerusi sidang media khas di Putrajaya, selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat "dengan hati yang reda walaupun berat" atas nasihat perdana menteri.

Pada masa sama, beliau berkata dirinya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan antaranya melibatkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

Sementara itu, Gerak juga meminta kerajaan sekali lagi mengasingkan pentadbiran pendidikan tinggi daripada kementerian sedia ada.

Katanya, pendidikan tinggi tidak boleh disatukan bersama di bawah tanggungjawab satu kementerian.

"Pertama, kementerian wajar dipecahkan, satu menjadi sebuah kementerian untuk pendidikan bukan pendidikan tinggi, merangka strategi dan dasar pendidikan dari tadika ke peringkat sekolah menengah.

“Dan kementerian berasingan untuk pendidikan tinggi. Di sini, mungkin Dr Maszlee boleh menjadi menterinya, malah memberi manfaat, memandangkan inisiatif yang telah dilakukan beliau sepanjang tempohnya berkhidmat.

"Pendidian moden secara rasmi kini terlalu kompleks dan rumit untuk disatukan di bawah kementerian yang sama," kata kenyataan itu.

NGO itu selanjutnya berkata usaha positif yang dibuat Dr Maszlee dalam memperbaiki sistem pendidikan negara juga perlu diteruskan oleh penggantinya.

Ini termasuk langkah ke arah memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), serta jawatankuasa bebas untuk memilih naib canselor universiti awam dan jawatankuasa integriti bebas menyiasat kes-kes penipuan dan penyelewengan di universiti.

“Sepanjang tempohnya (Maszlee), sebuah jawatankuasa bebas baru untuk memilih naib canselor universiti awam ditubuhkan pada pertengahan 2019.

"Ini selaras dengan pandangan Gerak dalam menghapuskan lantikan politik dalam jawatan teratas universiti dan pelaksanaan prosedur pemilihan bebas.

"Seperti yang dijangkakan, ia tidak berjalan dengan lancar, sebahagian besarnya disebabkan oleh penentangan oleh penjawat kini, yang telah menggunakan amalan standard lama untuk mendapatkan sokongan individu dan institusi yang kuat di luar akademia.

"Bagaimanapun, prosedur telah dilaksanakan bagi menggantikan cara-cara lama feudal dan kaitan politik ini. 

"Sekarang terserah kepada semua pihak yang terlibat untuk memastikan sistem ini berfungsi bagi kebaikan universiti awam Malaysia,” tambah kenyataan itu.

Sebaik Maszlee membuat pengumuman peletakan jawatannya, satu petisyen atas talian dimulakan untuk menggesa beliau dikekalkan yang setakat ini telah mengumpul lebih 350,000 tandatangan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam, Dr Mahathir berkata pengganti Maszlee akan diumumkan sedikit masa lagi.

Lihat Komen
ADS