Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham: Mat Sabu mungkir janji beri pangkat tentera pada ahli politik
Diterbitkan:  Jan 6, 2020 9:28 PM
Dikemaskini: Jan 8, 2020 8:24 AM

Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein hari ini mendakwa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bercanggah pendirian susulan tindakan menteri itu memberikan pangkat tentera kepada ahli politik.

“Tak sampai seminggu masuk tahun baru, Menteri Pertahanan dah mungkir janji lagi? Sebelum ni, bukan main tegas lagi Mohammad Sabu kata tidak akan ada lagi pangkat tentera untuk orang politik.

“Habis, ini apa? Menteri Besar Negeri Sembilan bukan orang politik ke? Julai 2019 hari tu, Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Melaka pun dipakaikan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.


Penjelasan Kementerian Pertahanan


Portal rasmi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaporkan penganjuran majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah yang disempurnakan oleh Mohamad di Penthouse, Wisma Pertahanan.

Majlis tersebut menyaksikan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral Kehormat.

Terdahulu, pada 31 Julai lalu, Mohamad yang juga merupakan presiden parti Amanah berikrar tidak akan meneruskan amalan memberi pangkat tentera kepada ahli politik.

Beliau berkata, ini bagi menghalang ahli politik menyalahgunakan pangkat tersebut untuk masuk ke kem tentera dan membuat kempen politik terutama ketika pilihan raya umum.

Sementara itu, Hishammuddin  yang merupakan Anggota Parlimen Sembrong- mempersoalkan mengapa keistimewaan pangkat itu diberikan kepada pemimpin berkenaan.

“Sepatutnya, kalau betul tidak mahu bagi, berpeganglah kepada pendirian. Kenapa pula mesti ada pengecualian dan keistimewaan kepada orang yang berjawatan tertentu.

“Takkanlah hanya kerana orang-orang ini ialah penaung kepada Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (Jakpaw), terus dibolehkan,” katanya lagi.

Sudah dijelaskan Tentera Darat tahun lalu

Ketika dihubungi Malaysiakini, Setiausaha Akhbar Mohamad, Amin Shah Iskandar berkata perkara tersebut sudah dijelaskan oleh Tentera Darat pada tahun lalu.

Menurut kenyataan Tentera Darat pada 17 Julai tahun, penglibatan menteri besar atau ketua menteri di dalam Jakpaw adalah wajar.

Ini kerana mereka merupakan ketua eksekutif bagi negeri berkenaan seperti mana yang diamalkan dalam sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan -berasaskan sistem Parlimen Westminster- dan turut mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan Negeri.

Tambahnya, kedua-dua individu berjawatan tersebut merupakan contoh terbaik untuk menggalakkan rakyat menyertai Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP) melalui prinsip ‘Led by Example’.

Selain itu, beliau juga berkata pihak kementerian akan mengeluarkan kenyataan bagi memperjelaskan dakwaan tersebut esok.

embedded fb hisham -

 

Lihat Komen
ADS