Paling Popular
Terkini

Merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Markas Tentera Darat menerusi Siaran Akhbar “Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah” bertarikh 17 Julai 2019, Kementerian Pertahanan ingin mengulangi penegasan bahawa:

1. Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) merupakan suatu jawatankuasa peringkat negeri yang ditubuhkan di setiap negeri bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam pasukan sukarela iaitu Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP).

2. JAKPAW berperanan memberikan sokongan dan kerjasama untuk mempromosi dan menggalakkan penyertaan orang awam melalui komitmen majikan serta merancang semua jenis bantuan seperti kem gunasama kepada ASP di setiap negeri. Piagam Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Persekutuan telah ditetapkan menerusi Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) 1/96.

3. Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar/Ketua Menteri. Dan mereka dilantik oleh menteri pertahanan (Menhan) menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigediar Jeneral (Kehormat).

4. Selain daripada itu, perjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada setiausaha kerajaan (SUK) negeri. Pelantikan Pengerusi JAKPAW dibuat oleh menteri besar/ ketua menteri/ menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat kol (kehormat).

5. Kesemua perjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan MAT dan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972.

6. Perjawatan tauliah kehormat boleh ditamatkan sekiranya penyandangnya melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia atau tidak lagi menyandang jawatan mereka.

7. Justeru itu adalah tidak tepat dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memungkiri janjinya dengan memberikan pangkat kehormat kepada ahli politik. Pangkat yang diberikan kepada penaung JAKPAW adalah atas kapasiti kedudukan jawatan yang disandang yang melayakkan mereka diberi pangkat kehormat dan bukannya atas kapasiti latar belakang parti politik. Ini kerana pangkat kehormat ini turut diberikan kepada menteri besar atau ketua menteri dari parti pembangkang.


Tulisan ini tidak semestinya mencermikan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS