Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK KIMANIS | Calon Warisan Karim Bujang berkata tidak perlu untuk mempolitikkan isu Pas Sementara Sabah (PSS) kerana dakwanya ia diperkenalkan pentadbiran BN sebelum ini.

Karim berkata, meskipun BN tewas di peringkat negeri pada PRU ke-14, pentabdiran baru meneruskannya kerana ia merupakan idea yang baik.

"PSS idea ini datang daripada kerajaan lepas, mereka yang buat kajian. Kebetulan kerajaan dulu kalah.

"Kerajaan Warisan teruskan kerana ia perkara baik, walaupun datang daripada kerajaan dahulu," katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6, Kimanis, hari ini.

Semalam, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Rahmad Dahlan dalam satu program ceramah menggesa pengundi menolak Warisan sebagai bantahan terhadap keputusan kerajaan Sabah memperkenalkan PSS pada Jun nanti.

Beliau yang juga bekas anggota parlimen Kota Belud berkata, PSS adalah ancaman kepada penduduk tempatan Sabah.

"Ini bukan soal KDM (Kadazan Dusun Murut), orang Islam pun tidak mahu PSS. Kita sudah ada banyak masalah pendatang tanpa izin," kata Rahman.

Pada 6 Sep lalu, kerajaan mengumumkan untuk memperkenalkan PSS yang akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci di Sabah, yang berjumlah 136,055 orang.

Pas itu akan dikeluarkan pada 1 Jun dan boleh diperbaharui setiap tiga tahun, dengan bayaran RM120.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata dokumen itu akan menggantikan ketiga-tiga jenis dokumen sedia ada dimiliki warga asing yang sudah lama menetap di negeri ini.

Kad berkenaan akan dilengkapi ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari pemegangnya, kata Muhyiddin lagi.

Dalam pada itu, Karim yang pernah menjadi adun Bongawan selama lima penggal - satu daripada dua kawasan DUN dalam parlimen Kimanis - menyangkal tuduhan beliau gagal membangunkan kawasan itu.

Katanya, calon BN Mohamad Alamin yang patut meneruskan pembangunan kawasan itu ketika menjadi adun pada penggal lalu.

Beliau juga mengaku gagal membawa pembangunan ketika tempoh awal sebagai adun kerana bersama pembangkang pada masa itu, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

"Masa (dalam) Usno, saya adun pembangkang, tak boleh buat apa. Bila Umno masuk (ke Sabah) pada 1994 barulah pembangunan agak rancak," katanya lagi.

Mengulas kehadiran bekas anggota Parlimen Kimanis Anifah Aman yang berkempen untuk BN, Karim berkata beliau tiada masalah dengan perkara itu.

Karim, 67, merupakan adun Bongawan pada 1990 hingga 2013. Beliau menyertai Warisan tahun lalu.

Mohamad pula seorang peguam berusia 48 tahun yang menggantikan Karim sebagai adun Bongawan selepas PRU ke-13, tetapi tewas pada PRU lalu.

Lihat Komen
ADS