mk-logo
Berita

LANGSUNG | Hari ke-69 perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International terhadap Najib Razak akan bermula jam 11 pagi ini.

Malaysiakini membawakan liputan langsung prosiding di mahkamah.


Bicara sambung 20 Jan

4.47 petang - Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersetuju untuk menangguhkan prosiding hari itu, dan menyambung perbicaraan pada jam 9 pagi, 20 Januari.

Bekas perdana menteri juga perlu menghadiri kesnya dituduh meminda laporan audit akhir 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berasingan, mulai Isnin hingga Khamis pada minggu depan.


Husni tiada rancangan wajar nak ambil balik dana SRC di Swiss - Najib

4.30 petang - Najib Razak mendakwa bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah tiada rancangan sewajarnya apabila beliau menyatakan hasrat mahu pergi ke Switzerland untuk membawa pulang wang SRC International pada tahun 2016.

Inilah sebabnya mengapa beliau tidak meluluskan permintaan Husni itu, kata bekas perdana menteri di mahkamah.

Najib, yang juga menteri kewangan pada waktu itu, berkata demikian ketika menjawab soalan daripada DPP V Sithambaram mengenai usaha untuk mendapatkan kembali 'pelaburan' SRC di luar negeri.

Peguam itu kemudian bertanya Najib jika beliau bersetuju bahawa lawatan menteri kewangan mungkin lebih berkesan untuk mendapatkan kerajaan Switzerland melepaskan wang tersebut, berbanding sekiranya SRC berbuat demikian sebagai sebuah syarikat.

"Kecuali ada rancangan yang betul. Datuk Husni tidak mempunyai rancangan sewajarnya," kata Najib.

Bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah di bangunan mahkamah.

Sithambaram kemudiannya mengatakam kepada Najib bahawa beliau sebenarnya tidak mahu Husni pergi ke Switzerland.

Najib tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Pada Ogos tahun lepas, Husni telah memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan bahawa beliau mahu pergi ke Switzerland untuk cuba mendapatkan dana SRC yang dibekukan oleh pihak berkuasa di sana, tetapi tidak diberi kebenaran oleh Najib.

Husni berkata beliau mengetahui bahawa dana SRC International berjumlah RM3 bilion telah dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland kerana disyaki atas kesalahan pengubahan wang haram.

“Saya telah kemudiannya pergi bertemu dengan Dato’ Seri Najib dan meminta keizinan beliau untuk membawa delegasi daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara dan KWAP untuk membawa dokumen-dokumen bagi membuktikan bahawa wang tersebut adalah pinjaman daripada KWAP dan tidak sepatutnya dibekukan di bawah kesalahan AMLA.

“Namun, YAB PM tidak memberikan persetujuan kepada saya untuk bertindak sedemikian,” katanya ketika membaca kenyataan saksi.

"(Lawatan itu) akan hanya berkesan jika beliau mempunyai rancangan yang wajar," kata Najib.

Sithambaram: Tetapi adakah anda meminta beliau mengemukakan suatu rancangan yang wajar.

Najib: Beliau yang sepatutnya mengemukakan suatu rancangan yang wajar.


4.10 petang - Prosiding bersambung selepas rehat pendek.


3.45 petang - Prosiding berhenti rehat seketika.


Najib akui berhubung dengan Jho Low beberapa kali mengenai akaun banknya

3.43 petang - Mahkamah mendengar daripada Najib Razak bahawa beliau "beberapa kali" berhubung dengan ahli perniagaan berkaitan 1MDB, Jho Low mengenai operasi bekas akaun perdana menteri itu.

Pengakuan Najib dibuat ketika beliau menjawab beberapa soalan daripada DPP V Sithambaram, mengenai perbualan Jho Low dengan bekas pengurus hubungan Ambank Joanna Yu.

Perbualan Blackberry Messenger antara Low dan Yu pada 2014 kelihatan menunjukkan Low terbabit dalam memastikan Najib mempunyai dana yang cukup untuk mengeluarkan cek dan membuat pembayaran menggunakan kad kreditnya.

Najib mulanya bersetuju bahawa siri perbualan BBM antara Low dan Yu pada Ogos 2014 menggambarkan pembelian barang kemas yang dibuat dengan kad kredit Najib di Itali berjumlah RM3.282 juta.

Sithambaram: Pembelian barang kemas yang anda katakan. Anda bersetuju bahawa transaksi tersebut dan (perbualan) ini menggambarkan apa yang berlaku (pembelian di Itali)?

Najib: Ya.

Sithambaram: Jelas bahawa Jho Low memastikan semua urusan transaksi honoured (dipatuhi), betulkah tuan?

Najib: Ya.

Sithambaram: Dan daripada transaksi dan perbualan ini, Jho Low mengesahkan akaun-akaun terhadap bank itu dengan tujuan memastikan dana yang mencukupi untuk anda menggunakan kad kredit dan mengeluarkan cek, betulkah tuan?

Najib: Ya

Sithambaram: Dan saya katakan kepada anda tuan, bahawa perbualan BBM ini menunjukkan bahawa Jho Low dalam beberapa keadaan berhubungan dengan anda, untuk memastikan kad dan cek dapat beroperasi.

Najib: Pada dasarnya (dengan) Azlin (bekas ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alias).

Sithambaram: Tetapi dalam beberapa kesempatan dengan Jho Low?

Najib: Beberapa kesempatan.

Sithambaram: Beberapa kesempatan dia berhubungan dengan kamu?

Najib: Ya.


DPP tanya Najib perbualan BBM antara Jho Low, Joanna Yu

3.05 petang - Pihak pendakwaan meneruskan pemeriksaan balas terhadap Najib Razak dengan meminta bekas perdana menteri merujuk kepada beberapa siri perbualan Blackberry Messenger antara ahli peniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low dan bekas pengurus hubungan Ambank, Joanna Yu.

DPP V Sithambaram menunjukkan kepada Najib transkrip perbualan itu, di mana Low dan Yu membincangkan mengenai pendebitan dana ke dalam akaun bank Ambank Najib pada tahun 2014 untuk memastikan beliau mempunyai imbangan yang mencukupi untuk mengeluarkan cek.

Beliau kemudian merujuk Najib kepada penyata bank yang sepadan dengan apa yang telah dibincangkan oleh Low dengan Yu, sebelum bertanyakan lanjut kepada bekas perdana menteri itu:

Sithambaram: Ini jelas menunjukkan bahawa Jho Low memastikan supaya anda mempunyai cukup wang untuk menulis cek. Betulkah tuan?

Najib: Ia akan kelihatan begitu.


Sebab dapat derma Arab, Najib 'tak peduli' belanja peribadi kad kredit

2.49 petang - Najib Razak memberi keterangan sebahagian besar perbelanjaan peribadi kad kreditnya berjumlah ribuan ringgit tidak dianggap penting memandangkan beliau menerima sumbangan daripada keluarga diraja Saudi.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram.

DPP bertanya beliau mengenai perbelanjaan peribadinya berjumlah ribuan ringgit dalam penyata kad kreditnya, yang Najib menjawab bahawa jumlah itu tidak penting memandangkan beliau mendapat derma Arab itu.

Dalam keterangan terdahulu di mahkamah, Najib berkata bahawa perbelanjaan peribadi kad kredit yang dianggapnya sebagai penting adalah pembelian jam tangan Chanel berharga RM466,330.11 untuk isterinya, Rosmah Mansor.

Sithambaram: Saya katakan kepada anda bahawa kenyataan anda yang menyatakan satu-satunya perbelanjaan peribadi anda hanya membeli jam Chanel itu sebagai tidak betul?

Najib: Saya perlu mendapat kelulusan, bahawa (jam Chanel) adalah jumlah yang besar. Yang lain (belanja ribuan ringgit) tidak penting.

Sithambaram: (Jadi) masih ada lagi perbelanjaan lain (berjumlah ribuan ringgit).

Najib: Ya, tetapi yang itu tidak penting.

Sithambaram: Tidak signifikan berdasarkan derma Arab?

Najib: Ya.

Najib sebelum ini mendakwa beliau menerima sumbangan sebanyak RM2.6 bilion daripada Raja Arab Saudi Raja Abdullah.


Najib tak ingat derma Arab diguna bantu mangsa banjir K'tan 2014

2.43 petang - Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau tidak ingat jika derma yang dikatakan diterimanya daripada keluarga diraja Saudi berjumlah berbilion-bilion ringgit itu digunakan dalam usaha bantuan terhadap bencana banjir yang melanda Kelantan pada 2014.

Bekas perdana menteri berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram.

Sithambaram bertanyakan tertuduh mengenai bayaran beribu-ribu ringgit untuk penginapan hotel di Bangkok, Thailand.

Najib menjawab bahawa perbelanjaan itu diperlukan kerana beliau bertemu dengan rakan sejawatnya dari Thailand untuk membincangkan usaha bantuan terhadap bencana banjir Kelantan.

Sithambaram: Ketika itu, adakah derma Arab digunakan untuk Kelantan (bantuan banjir pada tahun 2014)?

Najib: Saya tidak ingat.

Sithambaram: Tetapi ini CSR (tanggungjawab sosial korporat, yang merupakan salah satu sebab derma Arab disumbangkan kepada Najib).

Najib: Saya tidak boleh ingat.


Pendakwaan cadang tiada hadiah kepada isteri PM Qatar

2.33 petang - DPP V Sithambaram selanjutnya meneruskan pertanyaannya mengenai surat yang kononnya mengandungi pengakuan oleh isteri bekas PM Qatar, Hamad Jassim kerana dihadiahkan barang kemas daripada Najib Razak pada tahun 2014.

Peguam itu meminta Najib jika beliau mahu memanggil sesiapa untuk memberi keterangan bahawa perhiasan bernilai RM3.282 juta itu telah diberikan kepada wanita berkenaan.

Bagi pertanyaan ini, Najib berkata: "Kami melihat hal ini."

Sithambaram kemudian mencadangkan kepada Najib bahawa tidak pernah ada hadiah sedemikian yang diberikan kepada isteri Hamad, dan surat itu hanya dikeluarkan cuma untuk menjelaskan perbelanjaan.

Najib tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Sithambaram: Saya katakan kepada Datuk Seri, bahawa tidak ada hadiah dengan jumlah ini kepada isteri PM Qatar. Anda bersetuju atau tidak bersetuju?

Najib: Tidak setuju.

Sithambaram: Dan saya katakan kepada kamu bahawa surat ini dihasilkan selepas kejadian itu untuk menjelaskan perbelanjaan sebanyak RM3.2 juta itu?

Najib: Saya tidak setuju.


Rosmah guna kad kredit Najib didakwa beli hadiah untuk isteri PM Qatar

2.28 petang - Pemeriksaan balas oleh pendakwaan terhadap Najib Razak hari ini bermula dengan DPP V Sithambaram meminta bekas perdana menteri mengenai perbelanjaan melebihi RM3.282 juta atas kad kreditnya untuk membeli barang kemas di Itali pada September 2014.

Najib sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau telah membelanjakan jumlah tersebut untuk membeli hadiah dari butik barang kemas De Grisogono untuk isteri perdana menteri Qatar, Hamad Jassim.

Walau bagaimanapun, mahkamah hari ini mendengar bahawa bukan Najib yang membuat pembelian.

Najib memberi keterangan bahawa beliau telah menyerahkan tugas membeli barang kemas itu kepada isterinya Rosmah Mansor, yang telah menggunakan kad kreditnya untuk berbuat demikian.

Hal ini diketahui apabila Sithambaram bertanya Najib mengenai berapa banyak barang kemas yang sebenarnya dibeli dari butik tersebut untuk isteri Hamad, yang Najib mengatakan: "Its a piece of jewelry" (Ia satu barang kemas).

Walau bagaimanapun, Sithambaram kemudian meminta bekas perdana menteri itu untuk merujuk kepada penyata banknya, yang menyenaraikan pembelian 10 barang dari De Grisogono pada tarikh tersebut.

Selepas meneliti penyata berkenaan, Najib kemudian memberitahu mahkamah bahawa ia kelihatan seperti satu set barang kemas.

"Sepertinya ia satu set, tetapi saya perlu menyemak dengan isteri saya.

"Beliau yang membeli barangan tersebut," katanya.


Peguam bela Najib mohon dapatkan rakaman audio SPRM

2.18 petang - Pasukan pembelaan Najib Razak akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan rakaman audio SPRM yang dikatakan berkaitan dengan 1MDB.

Peguam bela utama bekas perdana menteri, Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengenai hal tersebut pada awal prosiding petang ini.

"SPRM menyediakan rakaman pita dan mereka mendedahkannya kepada dunia secara keseluruhan. Majoriti kandungannya boleh digunakan untuk pembelaan kami," kata Shafee.

DPP V Sithambaram kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan berhak untuk membantah atau tidak membantah permohonan itu, sementara pendakwaan menunggu melihat butiran lanjut.

Pada sidang akhbar semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan pegawai kanan SPRM lain mendedahkan rakaman audio yang dikatakan perbualan Najib berkaitan 1MDB dengan beberapa individu termasuk individu yang didakwa sebagai isterinya Rosmah Mansor.


Najib masuk ke kandang saksi, prosiding mula

2.15 petang - Prosiding bermula, Najib Razak masuk ke kandang saksi untuk pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram.


2.00 petang - Najib Razak masuk ke dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.

Turut kelihatan di mahkamah ialah DPP V Sithambaram dan timbalan pendakwaraya lain, serta peguam bela utama bekas perdana menteri, Muhammad Shafee Abdullah dan anggota lain pasukan pembelaan tertuduh.


Prosiding mula jam 2 petang

11.00 pagi - Perbicaraan akan bermula pada jam dua petang hari ini dan bukan pada jam 11 pagi ini.

DPP V Sithambaram berkata ini disebabkan pasukan peguam bela dan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah masih dalam pendengaran kes berasingan di mahkamah tinggi lain.

Perbicaraan tersebut melibatkan permohonan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam bagi mengetepikan penangguhan yang diberikan mahkamah kepada Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina terhadapnya.

Permohonan komital itu dikaitkan dengan dakwaan Lokman mengancam bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang menjadi saksi utama dalam perbicaraan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB.


Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menetapkan pendengaran kes bersambung selepas pasukan pembelaan bekas perdana menteri menghadiri dua urusan lain di mahkamah pada awal pagi ini.

Urusan pertama berkaitan sebutan kes Najib meminda laporan audit akhir 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Perkara kedua pula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berhubung pendengaran permohonan Lokman Noor Adam untuk membatalkan penangguhan yang diberikan kepada Pejabat Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno itu.

Prosiding komital (menghina mahkamah) itu mengenai ancaman yang didakwa dibuat Lokman terhadap bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB yang masih berjalan terhadap bekas perdana menteri. Sequerah ialah hakim yang mengetuai kes RM2.28 bilion 1MDB Najib.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

Semalam, semasa perbicaraan kes RM42 juta dana SRC International, mahkamah mendengar antara lain bahawa Najib tidak kehilangan sebarang wang disebabkan apa yang dikatakan manipulasi aliran masuk wang secara besar-besaran ke dalam akaun bank bekas perdana menteri daripada ahli perniagaan berkaitan 1MDB yang kini dalam buruan Jho Low.

Semalam juga menyaksikan perkembangan di luar mahkamah yang mungkin dikaitkan dengan perbicaraan kes RM42 juta SRC, antara lainnya, peguam bela utama tertuduh, Muhammad Shafee Abdullah sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan prosiding menghina terhadap SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Ini berhubung pendedahan SPRM semalam mengenai rakaman audio yang didakwa mendedahkan perbualan Najib membabitkan skandal 1MDB.

SRC International ialah bekas anak syarikat 1MDB sebelum syarikat itu diambil alih oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF) pada tahun 2012. Najib ketika itu menjadi menteri kewangan.

Lihat Komen
ADS