Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lim: Menteri akan terus guna Proton Perdana, bukan Vellfire

Menteri kabinet akan terus menggunakan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi dan bukannya Toyota Vellfire, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata keputusan itu dibuat selepas sebuah syarikat yang dilantik untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan mengesahkan bahawa terdapat bekalan kereta Perdana yang mencukupi.

“Sekarang kita dapat maklumat, atau pengesahan, bahawa kereta Perdana mencukupi. Ini tak jadi masalah.

"Harap jangan gembar-gemburkan yang bukan-bukan. Jangan gembar-gembur yang tak benar,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Lim menjelaskan bahawa sebelum ini syarikat berkenaan itu tidak membekalkan kenderaan jenis Perdana, justeru kerajaan memberi pilihan walaupun pada dasarnya tetap mahu terus menggunakan Perdana.

“Sebenarnya ini (Toyota Vellfire) adalah pilihan. Bila kontrak diberikan, ia untuk menteri, kita nak kekalkan Perdana tetapi kerana syarikat tak keluarkan Perdana, ini jadi masalah.

“Yang ada tak cukup untuk menteri-menteri dan juga timbalan. Itu sebab kita beri pilihan, sekiranya tiada (Perdana), kita pilih yang lain,” katanya.

Menurut Lim kontrak yang diberikan kepada syarikat berkenaan dibuat oleh jawatankuasa tender dan dirinya tidak terlibat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail bulan lalu berkata bahawa kerajaan dalam rangka melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan rasmi dan perjanjian itu membabitkan 32 unit Toyota Vellfire yang akan dibekalkan kepada para menteri.

Selain itu, adalah dilaporkan bahawa 3,000 unit Honda Accord akan dibekalkan untuk pegawai kanan kerajaan.

Lihat Komen
ADS