Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Dulu kritik k'jaan 60 tahun, sekarang rasakan pula

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyindir secara halus Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya, dengan berkata pakatan itu kini merasa sendiri kritikan yang dilemparkan kepada kerajaan terdahulu ketika menjadi pembangkang untuk tempoh 60 tahun.

“Mana-mana kerajaan akan dikritik. Perkara paling seronok adalah menjadi pembangkang.

“Pembangkang (dahulu) menikmati 60 tahun lamanya mengkritik kerajaan.

“Sekarang pembangkang sudah jadi kerajaan. Rasakan pula sedikit sebanyak (dikritik),” katanya di sidang media di Pejabat Perdana Menteri hari ini, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai kritikan yang diterima kerajaan terhadap urusan pembekalan 32 unit Toyota Vellfire untuk menteri, dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan oleh sebuah syarikat.

Selain kenderaan tersebut, kerajaan juga dilapor bercadang untuk menggunakan 8,000 unit Proton Persona dan Proton Saga.

Urusniaga itu dilaporkan akan mencecah kos RM300 juta setahun, melibatkan 12,500 kenderaan bagi tempoh 15 tahun.

Pada masa ini menteri menggunakan Proton Perdana manakala pegawai kerajaan kanan pula menggunakan Toyota Camry. 

Lihat Komen
ADS