Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH, dua lagi mohon batal saman dakwaan gagal tunai janji manifesto

Pakatan Harapan (PH) dan dua pihak lagi memfailkan permohonan untuk membatalkan saman terhadap mereka kerana didakwa tidak menunaikan janji manifesto PRU ke-14 untuk menangguhkan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggit Nasional (PTPTN) bagi peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Melalui peguam masing-masing, PH, PTPTN dan kerajaan memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, masing-masing pada 20 dan 31 Disember, dan 1 Januari.

Messrs Ram Caroline Sha & Shah dan Messrs Adnan Sharida & Associates mewakili PH dan PTPTN, manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) mewakili kerajaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Adnan Seman, yang mewakili lima peminjam PTPTN yang memfailkan saman itu, mengesahkan permohonan tersebut dibuat.

Lima pelajar itu memfailkan saman mereka pada 22 Oktober lalu berhubung berhubung janji manifesto PRU ke-14 yang tidak dipenuhi, terutama berkenaan penangguhan bayaran buat peminjam berpendapatan kurang RM4,000.

PH, PTPTN dan kerajaan memohon mahkamah membatalkan saman itu mengikut Aturan 18 Kaedah 19 dalam Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Menurut notis permohonan PH yang diperoleh Malaysiakini hari ini, PH memohon saman itu diketepikan memandangkan mereka ada cukup masa untuk memenuhi manifesto PRU ke-14 berhubung penangguhan pinjaman.

Menurut afidavit yang ditandatangani Ketua Sekretariat PH Saifuddin Abdullah, gabungan itu memerlukan lebih masa untuk memenuhi janji itu selepas mendapati kerosakan yang dilakukan pentabdiran BN sebelum ini, yang menyebabkan janji daam Buku Harapan tidak boleh ditunaikan secepat mungkin.

Beliau berkata PH tetap komited untuk menunaikan janji dalam Buku Harapan dan menyatakan sebahagian janji pilihan raya telah dilaksanakan dan dalam proses pelaksanaan.

"Saya juga merujuk perenggan 18 dan menyatakan tindakan yang dibawa oleh plaintif adalah secara alternatifnya, pra-masa kerana perkara yang terkandung dalam Buku Harapan, khususnya janji kelima, janji ke-50 dan iltizam keempat adalah perkara yang dikatakan akan dilaksanakan dalam tempoh antara terbentuknya kerajaan selepas PRU ke-14 sehingga terbubarnya Dewan Rakyat yang ke-14 kelak.

"Juga secara alternatifnya, saya juga menyatakan dalam apa jua keadaan sekalipun plaintif tidak mengundi parti-parti PH semasa PRU ke-14 bagi memilih ahli Dewan Rakyat dan oleh itu apa yang terkandung dalam Buku Harapan tidak berupaya mengikat mereka dengan defendan kedua (PH) dan/atau mana-mana parti (dalam) PH," katanya.

 

Katanya lagi, manifesto PRU ke-14 seperti yang dinyatakan dalam Buku Harapan bukan kontrak yang mengikat secara undang-undang tetapi sebagai representasi yang dibuat untuk diukut ketika PRU akan datang.

Saifuddin kemudian merujuk kata pengantar oleh Dr Mahathir Mohamad dalam Buku Harapan, yang menyatakan:

"Dengan terbitnya buku ini, kami juga dengan penuh tanggungjawab menyatakan bahawa kami sanggup dihakimi oleh rakyat sejauh manakah kami berjaya memenuhi janji-janji ini. Jika kami gagal atau mungkir janji tolaklah kami melalui proses demokrasi."

Katanya, saman itu patut diketepikan kerana plaintif gagal menyatakan kerugian yang ditanggung mereka ekoran dakwaan kegagalan PH menunaikan janji manifestonya.

"Atas sebab-sebab di atas, saya menyatakan bahawa tindakan plaintif terhadap defendan kedua adalah, antara lain, mengaibkan, remeh atau menyusahkan, dan/atau ia selainnya adalah suaut penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Menurut permohonan pembatalannya, defendan pertama PTPTN menekankan manifesto PRU ke-14 bukan kontrak yang mengikat.

PTPTN berkata plaintif terikat dengan "perjanjian pinjaman" dengan defendan pertama dan tiada terma berkenaan penangguhan pembayaran untuk peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000.

PTPTN juga menyatakan plaintif melalui samannya gagal membuktikan sama ada badan itu ada memberi apa-apa janji sebelum PRU ke-14 berkenaan perkara itu.

Dalam permohonan kerajaan pula, ia berkata plaintif gagal menyatakan sebab tindakan yang wajar kerana kerajaan merupakan entiti yang berbeza dengan PH dan PTPTN.

"Penamaan 'Kerajaan Malaysia' secara am sebagai defendan ketiga dalam tindakan ini adalah suatu perkara yang remeh dan menyusahkan," katanya lagi.

Sementara itu, Adnan berkata permohonan pembatalan itu akan dibangkitkan dalam pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Februari ini.

Lihat Komen
ADS