Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bermula dengan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) (1968) oleh Majlis Raja Raja dan kemudiannya menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) (1974) di Jabatan Perdana Menteri sebelum dinaik taraf menjadi Jakim pada 1 Januari 1997 sebagai platform di dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam.

Baru-baru ini ada sesetengah pihak yang mendakwa penubuhan Jakim adalah tidak berperlembagaan dan perlu dimansuhkan.

Kalangan yang berpendirian begini memegang pandangan bahawa oleh kerana Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana diperuntukkan oleh Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa tindakan mengenai agama Islam.

Semua perkara yang bersangkutan dengan Islam adalah eksklusif berada di dalam bidang kuasa negeri.

Dalam kerangka sistem Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah terletak di bawah kuasa negeri dan ketua agama Islam adalah Sultan negeri itu sendiri.

Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan atau Raja, Yang Dipertuan Agong merupakan ketua agama Islam bagi negeri tersebut.

Parlimen walau bagaimanapun mempunyai kuasa yang sama dengan negeri-negeri lain untuk membuat sebarang undang-undang Islam dan Kerajaan Persekutuan mentadbir agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Tiada kuasa perundangan

Jakim tidak mempunyai kuasa perundangan sama ada mengambil tindakan seperti menuduh orang Islam atas kesalahan jenayah syariah ataupun apa-apa kuasa negeri yang lain.

Jakim merupakan sekadar badan yang mengambil peranan menyelaras dan menyeragamkan pengamalan Islam di antara negeri-negeri. Terpulanglah kepada negeri-negeri untuk membuat keputusan mereka sendiri.

Jika adapun kuasa sedemikian, kuasa tersebut diberikan oleh pihak negeri ataupun Wilayah Persekutuan.

Namun begitu sebenarnya tidak semua perkara berkaitan Islam terletak seratus peratus di bawah bidang kuasa negeri. Umpamanya beberapa undang-undang Persekutuan yang mempunyai kaitan atau menyentuh pengamalan Islam dilulus parlimen.

Antara undang-undang tersebut adalah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Bank Islam 1983 (Akta 276), Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Akta Percetakan Teks Al Qur'an 1986 (Akta 326) dan beberapa undang-undang Persekutuan lain lagi.

Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 umpamanya memperuntukkan dan mengiktiraf pengamalan perubatan Islam.

Persoalan di sini bagaimanakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempastikan suatu perubatan Islam itu benar di sisi Islam bukan khurafat, sihir, syirik atau yang bertentangan dengan hukum syarak?

Sebagai sebuah entiti Persekutuan sudah pasti KKM memerlukan sebuah entiti persekutuan juga bagi membantunya. Tidak munasabah KKM terpaksa merujuk empat belas buah negeri bagi suatu perkara.

Oleh itu Jakim lah entiti yang dirujuk dan ia bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan di dalam Jadual Kesembilan Senarai I Butiran 4(k) yang menyebut Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa di dalam penentuan Hukum Syarak, selain dari undang-undang diri, bagi tujuan-tujuan undang-undang Persekutuan.

Undang-Undang Persekutuan yang dimaksudkan itu adalah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016.

Begitu juga bagi undang-undang Persekutuan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang mana tapisan penerbitan dilakukan bagi mengelakkan ajaran sesat dan bertentangan dengan Islam disiarkan.

Organisasi pemantau

Sudah pasti Kementerian dalam Negeri tidak mempunyai kemahiran khusus memantau dan meneliti penerbitan berkaitan hukum syarak ini. Oleh itu Jakim lah yang akan menjadi organisasi yang memantaunya bagi tujuan undang-undang persekutuan iaitu Akta Percetakan dan Penerbitan tersebut.

Bagi urusan haji pula umpamanya sebuah jabatan persekutuan iaitu Jabatan Wakaf dan Haji (JAWHAR) menguruskannya melalui Tabung Haji. Urusan dibuat mengenai kuota haji, visa, pengamalan logistik dan sebagainya diurus oleh entiti Persekutuan.

Ini adalah kerana hubungan antarabangsa iaitu antara Malaysia dan Arab Saudi dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Arab Saudi tidak akan berunding dengan negeri-negeri mengenai perkara ini. Jadi entiti di peringkat Persekutuan yang menjalankan fungsi ini.

Suatu perkara lagi jika kita meneliti peruntukan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa dana awam boleh digunakan bagi pembagunan agama Islam.

Dana awam dari Kerajaan Persekutuan adalah sah digunakan oleh Kerajaan bagi maksud tersebut. Persoalannya bagaimanakah dana tersebut nak diuruskan bagaimana ia mahu digunakan dan siapa yang akan memantaunya.

Sebab itulah Jakim diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri dan berada di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Adalah mustahil dana tersebut digunakan secara semberono dengan terus disalurkan kepada negeri. Jakim merupakan pengurus kepada dana tersebut bagi memberi erti kepada Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Lantaran saya tidak nampak bagaimana dikatakan Jakim itu sendiri tidak berperlembagaan. Situasi akan berbeza sekiranya Jakim bertindak di dalam perlaksanaan undang-undang jenayah syariah di luar Wilayah-Wilayah Persekutuan umpamanya kerana ia adalah bidangkuasa negeri.

Sehingga hari ini tiada sebarang campur tangan Jakim terhadap bidang kuasa negeri-negeri.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip federalisme dan terdapat dua badan perundangan iaitu Persekutuan dan negeri.

Hubungan antara kedua badan perundangan ini mestilah akrab dan saling lengkap melengkapi bukan bersaing antara satu sama lain.

Dana bukan semata-mata diguna Jakim

Bagi maksud ini Jakim memainkan peranan yang penting bagi menyelaraskan pelbagai isu melalui pelbagai jawatankuasa antaranya Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Teknikal Undang Undang Syarak/Sivil, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) dan banyak lagi tanpa mengambil kuasa negeri-negeri.

Jakim sebagaimana agensi Persekutuan yang lain ditubuhkan secara pentadbiran oleh Kerajaan tidak melalui undang-undang. Norma lazim ini memang biasa dilakukan dan tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Representasi salah juga selalu dibuat dengan hanya mengemukakan fakta Jakim diberikan dana yang banyak oleh Kerajaan Persekutuan. Namun sebenarnya dana tersebut bukanlah semata-mata untuk digunakan oleh Jakim.

Jumlah besar digunakan untuk gaji para imam dan pegawai masjid yang berkhidmat di negeri-negeri, begitu juga ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

Ia bertujuan untuk membiayai dana pengembangan agama Islam di negeri-negeri seluruh Malaysia. Ia bukan untuk Jakim semata-mata.

Golongan ini perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan yang tidak mempunyai asas.

Saya kekal berpandangan penubuhan dan operasi Jakim adalah sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan. Tiada apa salahnya malah operasi Jakim ini seharusnya diperkemas dan dipertingkat lagi bagi menjaga Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama semua negeri-negeri di Malaysia selain Sarawak.

Saya juga ingin bertanya kepada pihak Kerajaan Persekutuan, selepas PRU yang lepas telah ditubuhkan suatu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam di yang diurusetiakan oleh Majlis Raja-Raja.

Kita dimaklumkan pihak kerajaan akan melaksanakan semua cadangan yang akan diberikan oleh Jawatankuasa Tertinggi tersebut.

Namun sehingga kini, kita masih lagi belum diberitahu adakah Jawatankuasa Tertinggi tersebut sudah mengemukakan cadangan-cadangan dan sekiranya sudah apakah cadangan yang dikemukakan secara terperinci.

Begitu juga samada cadangan tersebut sudah dilaksanakan atau tidak.


ZAINUL RIJAL ABU BAKAR merupakan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Lihat Komen
ADS