Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bila rakyat mengadu susah, saya mesti bantu - Mohamaddin
Diterbitkan:  Jan 12, 2020 8:47 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

PRK KIMANIS | Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi berkata beliau mempunyai tanggungjawab untuk membantu sebarang pengundi yang meminta pertolongannya tanpa mengira sama ada waktu pilihan raya atau tidak.

Beliau yang juga MP Lahad Datu, mengulas kenyataan Presiden MCA, Wee Ka Siong yang mendakwa beliau cuba 'membeli undi' apabila mengumumkan akan mendapatkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada SMK Bongawan II untuk menaik taraf padang sukan dan sebuah dewan.

Sekolah itu terletak di kawasan parlimen Kimanis yang mana kempen pilihan raya kecil sedang berlangsung.

"Sebagai seorang bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri satu ketika dahulu, beliau sepatutnya lebih maklum dengan situasi sebegini. 

"Apabila rakyat mengadu susah, saya mesti beri jawapan. Saya mesti beri komitmen untuk bantu. Ini tidak mengira masa. Waktu pilihan raya atau tidak, itu tanggungjawab saya," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menjelaskan lanjut, Mohamaddin berkata peruntukan yang diberikan adalah peruntukan menteri dan bukannnya daripada kementerian.

“Tuan pegawai daerah lebih maklum tentang apa yang diperlukan di kawasan itu dan saya selaku menteri berhak dan sepatutnya membantu apabila ia disuarakan kepada saya, adakah saya perlu berdiam dengan menyatakan bahawa saya perlu menjawab perkara itu selepas tempoh berkempen?” 

"Dan saya dengan jelas menyebut ia adalah peruntukan menteri dan bukannya peruntukkan kementerian," katanya.

Mohamaddin berkata beliau tidak akan mengulang kesilapan kerajaan terdahulu yang menangguhkan kehendak rakyat.

"Iktibar telah kita ambil dari kegagalan kerajaan yang lepas dan kita tahu sikap suka menangguhkan harapan dan kehendak rakyat membuatkan rakyat berubah hati, sekarang rakyat lebih bijak menilai,” katanya.

Terdahulu, Wee Ka Siong (gambar, atas) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tindakan terhadap dakwaan Mohamaddin 'membeli undi' pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

"Pelik. Menteri pelancongan mengumumkan peruntukan kerajaan kepada sekolah. Sejak bila sekolah menjadi destinasi pelancongan?" Soal Wee.

Tahun lalu, Mohamaddin juga pernah membuat pengumuman serupa bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM80,000 kepada sebuah sekolah semasa kempen PRK Semenyih.

Bagaimanapun, beliau ketika itu menarik balik pemberian peruntukan itu selepas diberi tahu ia berpotensi melanggar peraturan pilihan raya.

Pilihan Raya Kecil Kimanis menyaksikan calon Warisan, Karim Bujang menentang calon BN, Mohamad Alamin.

Tempoh berkempen pilihan raya bermula secara rasmi pada 4 Januari dan hari mengundi ditetapkan pada 18 Januari.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Anifah yang sudah keluar Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas memutuskan tidak bertanding PRK ini.

 

Lihat Komen
ADS