Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rahman: Kalau nak teruskan PSS, benarkan pemegang masuk semenanjung

PRK KIMANIS | Menyuarakan bantahannya terhadap pas sementara Sabah (PSS), Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan sepatutnya membenarkan pemegang pas itu untuk ke semenanjung jika benar-benar ingin melaksanakannya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, tindakan kerajaan mengehadkan pergerakan pemegang PSS di Sabah sebagai bukti ia tidak selamat.

"Kita mahu supaya pemegang kad PSS ini dibenarkan untuk terbang ke semenanjung mencari kerja dan tinggal di situ, kerana ia adalah dokumen rasmi.

"Sepatutnya semenanjung perlu berkongsi beban (masalah pendatang asing) dengan rakyat Sabah. Kenapa dihadkan kepada negeri Sabah?

"Ini masalah negara perlu dikongsi bersama," katanya dalam program kempen BN di Kimanis, semalam.

PSS ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang asing, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an. Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an.

Selainnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.

Ketiga-tiganya dikeluarkan tiga agensi berbeza: IMM oleh Jabatan Imigresen, kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).


PANDUANKINI: Apa itu PSS, kenapa ia penting untuk PRK Kimanis?


Menjadi antara isu utama sepanjang kempen PRK Kimanis, pembangkang berkata pelaksanaan PSS akan memburukkan lagi masalah pendatang asing di Sabah, dan mengancam keselamatan dalam negeri itu.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pula mengatakan ia adalah cadangan BN - iaitu pas residen sementara Sabah (PRSS) - yang diteruskan kerajaan hari ini dengan penambahbaikan.

Muhyiddin juga berkata pemegang PSS dilarang keluar Sabah melainkan atas sebab-sebab tertentu.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata larangan itu menunjukkan pelaksanaan PSS adalah bermasalah.

"Kalau semenanjung tidak mahu (terima kemasukan pemegang PSS) seperti kenyataan Muhyiddin dan (Timbalan Menteri Dalam Negeri) Azis Jamman, bermakna kerajaan PH akui ini satu masalah besar.

"Kad PSS adalah bermasalah, mereka tidak mahu masalah ini dengan membenarkan pemegannya mencari pekerjaan (di semenanjung)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS