Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warisan sasar penjelasan pas sementara Sabah pada anak muda

PRK KIMANIS | Menjelang hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Kimanis 18 Januari ini, isu Pas Sementara Sabah (PSS) terus menjadi tumpuan parti yang bertanding.

Semalam, Warisan menggunakan Himpunan Anak Muda Kimanis untuk menjelaskan isu itu.

Warisan mengambil usaha itu dua hari sebelum perhimpunan anti-PSS yang dirancang akan diadakan, yang antara lain akan dihadiri bekas bekas ahli parlimen Kimanis Anifah Aman pada sebelah paginya.

Pada Khamis ini juga akan diadakan Himpunan Muafakat Rakyat Sabah anjuran pembangkang pada sebelah malam.

Pada Himpunan Anak Muda malam tadi, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman, yang juga Ketua Pemuda Warisan, menjelaskan secara terperinci mengenai kewujudan tiga dokumen pendatang tanpa izin (PTI) sebelum PSS diperkenalkan di Sabah.

"Antara tahun 1972 dan 1984, ribuan rakyat Filipina melarikan diri dari negara mereka apabila konflik berlaku di selatan Filipina. Ada yang datang ke Sabah," katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri yang dipimpin Usno ketika itu membenarkan mereka tinggal dan memberikan kad Burung-burung kepada mereka.

Kerajaan persekutuan memutuskan untuk menghantar pegawai Majlis Keselamatan Negara untuk memantau situasi dan seterusnya jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan memutuskan untuk mengganti Kad Burung-burung dengan Sijil Banci.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan itu tidak berjalan lancar kerana faktor geografi yang menyebabkan sesetengah memegang Kad Burung-burung, sementara PTI yang lain memegang Sijil Banci.

"Antara 1990 hingga 1991, disebabkan isu keselamatan, kerajaan persekutuan sekali lagi, atas alasan keselamatan menghantar petugas khas ke Sabah. Akta Imigrisen dilaksanakan dan dokumen IMM13 diberikan kepada imigran," katanya.

"Kerajaan ingin menggantikan kad Burung-burung dan SIjil Banci kepada 1MM13. Bagaimanapun, tidak semua menukar dokumen mereka.

"Itu kronologi kenapa wujud tiga dokumen ini," katanya.

"Itu salah kerajaan lama kerana mereka memperkenalkan dokumen baru tanpa memansuhkan dokumen lama," tambahnya.

Azis kemudian berkata isu hari ini timbul susulan imigran memasuki Sabah secara tidak sah dan tinggal di negeri itu.

Katanya, mereka tinggal di Sabah dengan dokumen palsu yang dibeli dari sindiket.

Tambah Azis lagi, apabila pemegang IMM13, Kad Burung-burung dan Sijil Banci memohon PSS, agensi berkaitan yang mengeluarkan dokumen itu akan memeriksa data sebelum mengeluarkan dokumen baru kepada mereka.

Dokumen PSS tidak akan dikeluarkan sekiranya mereka mempunyai rekod jenayah, kata ahli parlimen Sepanggar itu.

Selepas tempoh permohonan untuk PSS tamat, katanya, pihak berkuasa akan membuat keputusan untuk menangkap pendatang tanpa izin.

Beliau mengulangi bahawa bilangan pendatang tanpa izin yang akan diberikan PSS tidak akan melebihi 136,055.

"Jangan keliru dan fikir PSS akan menarik lebih ramai pendatang untuk datang, hanya 136,055 (yang memegang tiga dokumen itu) layak mendapat PSS," katanya.

"Saya tidak nampak mengapa PSS tidak dapat diteruskan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS