Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khazanah tak terkesan tuduhan bos Maju Holdings
Diterbitkan:  Jan 16, 2020 8:57 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Shahril Ridza Ridzuan tidak terkesan dengan Pengarah Urusan Maju Holdings Berhad Abu Sahid Mohamed yang menuduhnya berbohong berkenaan tawaran syarikat swasta untuk mengambil alih Plus Malaysia Berhad.

"Saya tiada hasrat untuk melibatkan diri dalam perdebatan yang mengganggu, dan kekal fokus untuk bekerja dengan kerajaan untuk rakyat kita," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas laporan Free Malaysia Today yang memetik Abu Sahid yang mendakwa syarikatnya telah dijemput untuk menghantar tawaran membeli aset Plus dan merupakan pihak pertama yang menghantar cadangan.

Ia bertentangan dengan kenyataan Shahril sebelum itu yang dilaporkan berkata Khazanah tidak pernah meletakkan aset Plus untuk dijual, dan tawaran untuk membelinya adalah "tanpa diminta" kerana ia dibuat kepada kerajaan dan bukan dua pemegang saham Plus.

Selain Khazanah yang memiliki 51 peratus pegangan dalam Plus melalui UEM Group, satu lagi pemegang saham Plus ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan 49 peratus pegangan.

Abu Sahid kemudian menyifatkan Shahril Riza sebagai berbohong, seperti yang dilapor Free Malaysia Today.

“Mereka perlu ingat saya dipelawa untuk membida, bukan seperti orang lain yang hanya masuk tanpa jemputan.

“Kenapa Shahril cakap macam itu? Dia ialah pembohong. Bagaimana mereka boleh kata saya tidak dipelawa dan mereka tidak tahu apa-apa mengenai tawaran kami? Kami tulis surat kepada mereka, kami orang pertama menulis surat kepada mereka," katanya seperti dipetik.

Laporan itu turut memetik Shahril yang menafikan Khazanah pernah membuat apa-apa jemputan untuk membida aset Plus.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan Plus akan kekal sebagai milik kerajaan, setelah menimbang semua tawaran daripada syarikat swasta dan menilai laporan Khazanah.

Bagaimanapun Plus perlu mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Pada Oktober lalu, Maju Holdings membuat tawaran untuk mengambil alih Plus.

Syarikat itu berkata akan mengurangkan kadar tol sebanyak 36 peratus, serta menyerap RM2.7 bilion pampasan tol yang perlu dibayar kerajaan kepada Plus.

Selain Maju Holdings, antara syarikat yang menunjukkan minat mengambil alih Plus ialah Widad Group Bhd, RRJ Capital (berpangkalan di Hong Kong) and Karongsa Private Capital Sdn Bhd.

Lihat Komen
ADS