Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nasib Adun Dengkil tunggu keputusan mahkamah - Dr M

Nasib Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah hanya akan diketahui sebaik sahaja mahkamah memutuskan beliau bersalah selepas ditahan polis dalam parti persendirian Ahad lalu.

Selepas itu, kata Pengerusi Parti Bersatu, Dr Mahathir Mohamad barulah pihak parti akan mengambil sebarang keputusan.

“Kita tunggu keputusan. Parti mempunyai hak untuk ambil tindakan.

"Tetapi kita tidak boleh anggap mereka bersalah tanpa mahkamah membuat keputusan terlebih dahulu,” katanya dalam satu sidang media di Yayasan Albukhari Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir berkata demikian mengulas sekiranya lembaga disiplin parti akan memanggil Adhif selepas Ketua Armada Selangor itu termasuk antara antara 17 individu, termasuk enam wanita yang ditangkap dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong pada awal pagi Ahad lalu.

Susulan daripada itu, Ketua Armada Nasional Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam mesyuarat Majlis Ketua Armada Nasional mengambil keputusan menggantung serta merta jawatan Adhif sehingga polis selesai menjalankan siasatan.

Adhif Syan bersama 16 individu lain ditahan polis dalam serbuan terhadap sebuah unit kondominium dekat Jalan Puchong, awal minggu ini, yang disyaki menjadi tempat penyalahgunaan dadah dan judi.

Polis mengesahkan hasil saringan awal ujian air kencing terhadap 17 yang ditangkap itu, hanya seorang sahaja diuji negatif.

Kesemua mereka kecuali seorang wanita warga asing, sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan masih dijalankan, termasuk menunggu keputusan saringan kedua yang dilakukan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mahathir memaklumkan Perhimpunan Agung Bersatu akan diadakan pada 25 hingga 28 Jun ini.

Menurut Mahathir, seramai 363,167 ahli Bersatu akan terlibat dalam pemilihan parti di 189 Bahagian di seluruh negara.

“Jumlah ahli yang berdaftar dan layak mengambil bahagian dalam persidangan yang akan dimulakan di peringkat cawangan adalah 363,167 ahli.

"Jumlah tersebut nampak kecil kerana kita telah laksanakan pemutihan, sebab itu jumlah ini nampak kecil. Antara sebabnya lambat mendaftar, lambat melaporkan kepada ibu pejabat, tidak bayar yuran. Ini semua normal,” katanya.

Mahathir berkata Bersatu akan mengadakan mesyuarat cawangan bermula dari 15 Februari 2020 hingga 29 Mac 2020, manakala mesyuarat bahagian bermula pada 18 April.

Lihat Komen
ADS