Paling Popular
Terkini

ULASAN | Apakah kita masih ingat cerita seorang pemimpin yang dibanggakan kerana berbasikal ke sana dan ke sini penuh zuhud suatu ketika dulu?

Beliau khabarnya masih lagi berbasikal, jika perlu. Itu rutinnya. Takkanlah ke balaisah atau masjid berdekatan perlu memanggil pemandu, kan?

Kita juga mungkin belum lupa kisah pemimpin yang menerima hadiah kereta dan nombor kereta daripada pihak istana untuk keselesaan beliau bergerak bagi menyempurnakan kerja-kerja pentadbiran.

Itu sebuah kehidupan politik Islami, yang kaya dengan kesopanan, kerendahan hati, berjiwa rakyat serta tidak mungkin sama sekali akan tergamak membazirkan wang milik negara.

Kisah Umar Abdul Aziz yang menutup lampu jika ingin melakukan sesuatu hal terkait dengan diri dan keluarga (bukan kerajaan atau negara), sering dibincang dan dibedah ulas.

Ia merupakan kisah yang sentiasa masuk keluar usrah, tamrin, muzakarah, liqa fikri, WhatsApp dan ceramah politik untuk disandarkan perjuangan ini.

Mesej di sebalik penceritaan semua di atas ialah: "Itulah kami, zahir dan batinnya," kata mereka.

Dan hari ini, mesej itu tiba-tiba menjadi kabur. Ia ibarat selimut jerebu zaman gersang. Begitulah, belum lagi demam pilihan raya umum (PRU) ke-15 dirasakan betul-betul, sudah ada cita-cita tinggi mahu menjadi menteri.

"Mana mungkin menteri memakai Viva," katanya. Itulah, belum pun menjadi menteri, sudah menjalar Mercedesnya.

Mereka dah insaf

Kesan perkembangan itu sangat besar. Maka ada pakatan dan persefahaman dengan pihak yang dimusuhi selama lebih 60 tahun.

Persefahaman itu pula sifatnya begitu hangat dan intim. Maklumlah, demi masa depan bangsa dan negara, kata mereka.

Semalam, BN berjaya mengekalkan penguasaannya di Kimanis. Serentak dengan itu, keasyikan mahu memasuki Putrajaya semakin berkobar-kobar di kalangan Islamis yang sedang menghidupkan nadi perjuangan nasionalis sekularis.

Ia adalah dua isme yang pernah dikecam selama 60 tahun lalu, bertalu-talu dan berganti silih dengan takbir dan kebencian terhadap asobiyyah.

"Mereka sudah insaf!"

Ayat ini dialunkan berterusan secara istiqamah di mana sahaja. Kekal bersemangat berhujah demi kelangsungan permuafakatan,

Maklumlah, "tentang hati mereka, itu urusan Allah. Zahirnya mereka insaf!"

Nasionalis sekularis pun menangis teresak-esak hari ini. Kalau beberapa bulan dahulu, parti mereka hampir dikafankan, hari ini sudah bangkit bingkas penuh keriangan.

Tiada apa pun yang berubah. Parti kekal. Perlembagaan kekal. Pemimpin kekal. Pemikiran kekal. Pemimpin masa depan mereka pun sama seperti apa yang miliki sebelum Mei 2018.

Bersyukur sangat mereka. Kedua-duanya.

Satu kumpulan, secara sedar berasa bangga menyelamatkan nasionalis sekularis yang "telah insaf" bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai sejak lebih 60 tahun silam.

Asas yang mudah untuk menggerakkan persefahaman itu ialah, asalkan mereka masih kekal berdarah merah, berkulit sawo matang dan boleh melafazkan syahadah, cukuplah.

Integriti, keadilan, nilai-nilai tinggi kemanusiaan, itu boleh tumpu di lain kali.

Satu masa nanti, dengan izin Allah - akan muncullah anak-anak bangsa yang benar-benar berjiwa merdeka untuk meratapi kesongsangan langkah-langkah ibu dan ayah mereka.

Mungkin mereka akan menulis di dada-dada perjuangan sebegini: Biarlah kami memandu Viva sepanjang perjalanan ini, asal diri bermaruah, dihormati dan sentiasa menjiwai nadi rakyat dengan sulaman falsafah siasah yang hakiki dan tulen."


OMAR MOHAMED ialah pembaca Malaysiakini yang selalu mengikuti perkembangan politik tanah air dan mengharapkan negara sentiasa lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS