Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tindakan Kelantan membeli 14 buah kereta mewah Mercedes Benz untuk menteri besar dan barisan exco melukakan hati rakyat Kelantan, kata pengerusi Pakatan Harapan negeri, Senator Husam Musa.

Tegasnya, ia menunjukkan sikap “hipokrit” pimpinan negeri dan mereka sepatutnya malu pada diri sendiri kerana selama ini menguar-uarkan bahawa Islam mengamalkan gaya hidup sederhana.

"Dalam kes Kelantan kita tahu antara negeri ini mempunyai rakyat paling ramai miskin.

"Jadi dengan kemewahan yang ditunjukkan ini telah melukai perasaan rakyat miskin kerana segala keperluan hidup mereka belum mencukupi dan peruntukan kerajaan negeri harus utamakan kebajikan rakyat.

"Kenyataan pemimpin kerajaan Kelantan dalam hal beli kereta juga tidak telus, kononnya ada diskaun, sedangkan diskaun ini juga terpakai kepada kereta lain juga.

“Kalau beli yang lebih murah dan dapat diskaun, perbelanjaan jadi lebih kecil. Situasi ini menunjukkan sikap hipokrit pemimpin kerajaan negeri Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media ketika menghadiri majlis penyampaian watikah pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun.

Husam mengulas pembelian Mercedes Benz oleh kerajaan Kelantan yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu seperti dilaporkan Malaysiakini.


Baca: Takkan nak pakai Viva belaka menteri, kata Mohd Amar


Bagaimanapun, kerajaan negeri sebelum ini mempertahankan pembelian kereta rasmi tersebut sebagai bersesuaian untuk barisan kepimpinan.

Sementara itu Husam berkata, pemimpin kerajaan Kelantan sepatutnya berterus-terang sahaja sekiranya mahu membeli kereta mewah sebaliknya tidak perlu mencipta alasan.

"Sebab saya tengok amalan di Kelantan selepas habis penggal seseorang exco, kereta rasmi akan jadi milik exco berkenaan dan pada pendapat saya pembelian itu adalah persiapan mereka memiliki kereta mewah selepas penggal kerajaan sekarang tamat.

“Mereka akan miliki dan jadikan sebagai kereta persendirian.

"Dan dengan cara itu kerajaan akan datang kena beli kereta baru pula. Inilah amalan yang berlaku, cuma saya seorang apabila tak jadi exco saya tak ambil kereta sebab nak jimatkan duit kerajaan Kelantan.

"Masa saya jadi exco, bila ada keputusan nak beli kereta baru, saya seorang guna kereta lama, Mercedes Benz buruk yang ada zaman dulu. Exco lain dah beli kereta baru," katanya.

Husam menjelaskan, sudah menjadi amalan bagi kerajaan Kelantan untuk memiliki kenderaan rasmi apabila seseorang exco menamatkan perkhidmatan dengan bayaran tertentu.

"Ia satu amalan, dengan bayaran murah seseorang exco atau pegawai tinggi yang bersara boleh memiliki kereta rasmi yang digunakan semasa dalam perkhidmatan,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi kerajaan negeri berkaitan perkara itu.

Tambah bekas exco kanan itu, apa yang disebut oleh timbalan menteri besar Kelantan adalah tidak benar dan beliau memetik nama bekas menteri besar, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengiyakan tindakan mereka.

"Kenapa nak guna nama tok guru (Nik Aziz), guna nama sendirilah, kereta tok guru pakai dulu kereta peninggalan BN dan kurniaan sultan," katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah pada 17 Januari berkata, semasa Kelantan diperintah allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar itu sudah menggunakan kereta jenama mewah berkenaan.

Lihat Komen
ADS