Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Najib perlu berhenti 'tipu' rakyat isu tol

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa bekas perdana menteri Najib Razak untuk berhenti "menipu" rakyat dengan membandingkan keadaan konsesi tol di bawah BN dan PH.

Najib dalam kenyataan di Facebooknya sebelum ini mendakwa bahawa rakyat akan membayar lebih banyak untuk tol di bawah PH berbanding pentadbiran sebelumnya.

Ketika berkuasa, BN memperluaskan konsesi tol Plus dari 2018 hingga 2038 dan memutuskan kadar tol akan meningkat sebanyak lima peratus setiap tiga tahun.

Pada minggu lalu, PH memutuskan untuk melanjutkan konsesi untuk semua lebuh raya PlusSelama 20 tahun lagi tetapi mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus.

PH juga memutuskan untuk membekukan tol pada kadar diskaun hingga 2058, apabila konsesi berakhir.

Ditanya hari ini, Lim berkata graf yang dibentangkan oleh Najib adalah tidak tepat.

"Anda tidak boleh melakukan kaedah pengiraan garis lurus (straight line calculation)...

"Dia (Najib) melakukan pengiraan garis lurus. Baginya, jika dia dapat faedah, dia bercakap apa yang tersurat. Sekiranya ia tidak memberi manfaat kepadanya, maka dia bercakap apa yang tersirat.

"Dia perlu kira betul-betul...jangan cuba untuk menipu lagi. Seperti yang saya kata, jangan cuba menegakkan benang yang basah," katanya semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur.

 

Ditanya jika pengguna tol tentu akan membayar lebih banyak di bawah PH, Lim berkata kerajaan hanya akan tahu selepas Plus mengumumkan bagaimana ia akan melaksanakan rancangan kerajaan.

"Anda perlu melihat potongan harga ... Apabila anda potong (kadar tol) selama bertahun-tahun, ada nilai diskaun juga.

"Jangan lupa bahawa di bawah terma asal, terdapat peningkatan (lima peratus setiap tiga tahun).

"Kita akan umumkan angka-angkanya apabila butiran itu diumumkan sepenuhnya oleh Plus," jawabnya.

Plus dan kerajaan kini sedang memuktamadkan skop dan perancangan berhubung kadar tol menjelang tarikh pelaksanaan 1 Februari, 2020 yang dicadangkan.

Mampu beli kereta tapi tak mampu bayar penjawat awam

Sementara itu, ditanya sama ada kementeriannya telah meluluskan pengecualian cukai bagi pembelian 14 buah Mercedes Benz di Kelantan, Lim menidakkan perkara itu.

"Saya tidak tahu sama ada mereka melalui kastam tetapi saya tidak memberi kelulusan untuk pembelian ini," katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah sebelum ini berkata bahawa kerajaan negeri telah mendapat "diskaun 50 peratus" bagi kenderaan kerana tiada cukai dikenakan.

Amar juga menafikan bahawa kerajaan negeri yang diterajui PAS itu telah menggunakan RM400 juta dari Putrajaya untuk membeli kereta mewah.

Pada Nov 2019, Putrajaya telah memberi pinjaman sebanyak RM100 juta kepada Kelantan untuk membantu membayar penjawat awamnya.

Ditanya hari ini jika beliau mempertimbangkan untuk melanjutkan bantuan itu sekiranya Kelantan memerlukannya, Lim berkata kerajaan akan membuat keputusan sekiranya keperluan itu ada.

"Nanti tengok macam mana... [...]

"Kita tidak mahu mengorbankan kepentingan atau manfaat kakitangan awam kerana mereka tidak bersalah dan tidak melakukan apa-apa yang salah.

"Satu-satunya soalan yang timbul adalah kenapa mereka (kerajaan Kelantan) mampu membeli kereta mewah tetapi tidak mampu membayar penjawat awam?" katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS