mk-logo
Berita
Lapan Pemuda DAP hentam Syed Saddiq
Diterbitkan:  Jan 22, 2020 4:17 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Pemuda DAP membidas Syed Saddiq Abdul Rahman kerana menuduh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berundur.

Dalam satu kenyataan bersama petang ini, lapan pemimpin Pemuda DAP berkata Ketua Pemuda Bersatu itu tidak sepatutnya memberitahu orang lain memperbetulkan diri mereka.

Ini kata mereka, selepas serbuan polis terhadap penganjuran pesta dadah di sebuah kondominum yang turut melibatkan beberapa pemimpin Pemuda Bersatu baru-baru ini.

"Tengok siapa yang bercakap mahu memperbetulkan orang lain.

"Jika ada sesiapa yang perlu membetulkan diri mereka, ia adalah Syed Saddiq. Dia patutnya membetulkan sayap parti yang dia ketuai terlebih dahulu sebelum cuba menasihati orang lain," kata mereka.

Pemimpin-pemimpin DAP itu juga mempertahankan orang-orang yang dibidas Syed Saddiq kerana didakwa melancarkan serangan tidak berhenti-henti pada Mahathir sehingga menyukarkan perdana menteri untuk mentadbir negara.


Baca: Syed Saddiq bidas sekutu Anwar asyik serang Dr M


"Syed Saddiq perlu baca kenyataan pemimpin itu sebelum mengulas mengenai isu itu. Dia juga menuduh pemimpin-pemimpin ini mendesak Mahathir meletak jawatan.

"Majoriti pemimpin yang disebut Syed Saddiq dalam kenyataannya tidak ada menyebut bahawa Mahathir perlu meletak jawatan serta-merta. Mereka hanya menyuarakan pandangan majoriti rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia mahu peralihan kuasa secara aman tanpa kejutan. Pemimpin-pemimpin ini tidak kata Mahathir perlu segera meletakkan jawatan. Apa yang mereka minta ialah satu tarikh ditetapkan,"kata mereka.

Menurut tujuh pemimpin pemuda DAP berkenaan, tarikh peralihan yang ditetapkan dengan jelas akan menghapuskan kekeliruan ramai.

"Apa yang sukar bagi Syed Saddiq untuk faham? Syed Saddiq sendiri mengakui peralihan kuasa adalah sesuatu yang telah dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden (Pakatan Harapan).

"Apa yang salah dalam meminta penjelasan dalam perkara ini? Komen mereka tidak lain hanyalah menyuarakan pendapat dan pandangan mereka, "kata tujuh pemimpin pemuda DAP berkenaan.

Mereka juga mendakwa Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, cuba mengalihkan perhatian daripada isu penangkapan beberapa anggota Pemuda Bersatu dalam serbuan membabitkan kes dadah baru-baru ini selain mengaitkan kenyataannya dengan pemilihan parti itu akan datang.

Antara yang ditahan dalam serbuan berkenaan ialah Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan seorang pegawai daripada kementerian Syed Saddiq.

"Oleh kerana pemilihan parti Bersatu makin hampir, kita dapat melihat kenyataan hero dari Syed Saddiq, yang sedang mempertahankan jawatannya," kata mereka.

Mereka juga mengingatkan menteri berkenaan bahawa "orang-orang yang tinggal di rumah kaca tidak perlu membaling batu."

Mereka yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah Setiausaha Pemuda DAP antarabangsa, Satees Muniandy, Timbalan Ketua Chiong Yoke Kong, Setiausaha Eric Teh, Pengarah Pendidikan Politik Tan Tiong Yih; Setiausaha Penganjur Lee Wei Siang; bendahari Khoo Khim Han dan ahli jawatankuasa Woo Kah Leong dan Yu Ong Ching.

Kit Siang: Hentikan obsesi peralihan kuasa

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang meminta pemimpin dan anggota PH menghentikan obsesi mengenai peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar.

"Anwar telah pun menasihatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak membincangkan isu peralihan kuasa secara terang-terangan dan menghormati persetujuan mengenai perkara yang dicapai pada Januari 2018.

"Marilah kita beralih daripada memberi penekanan dan obsesi setiap hari dengan peralihan kuasa dan memfokuskan segala usaha kita untuk menunaikan janji-janji kita pada pilihan raya umum 2018 serta tahun 2020 akan menjadi tahun penentuan untuk Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut anggota Parlimen Iskandar Puteri itu, peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar sebagai bakal perdana menteri kelapan merupakan salah satu janji penting PH pada PRU14.

"Butiran peralihan kuasa perlu diberikan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk memutuskan, walaupun tidak perlu mesyuarat khas berhubung perkara itu," tambahnya.

Pemimpin-pemimpin DAP yang dinamakan Syed Saddiq dalam kenyataannya semalam ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Manakala pemimpin-pemimpin PKR yang disebut beliau pula Naib Presiden Rafizi Ramli, Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani, Ketua Pemuda Akmal Nasir, Setiausaha Pemuda Syukri Razab dan bekas Timbalan Presiden Syed Husin Ali.

Syed Saddiq mendakwa pemimpin-pemimpin DAP dan PKR berkenaan sebagai penyokong kuat Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang telah ditetapkan sebagai pengganti Mahathir.

Sebelum ini, Anwar menggesa semua pemimpin PH untuk memastikan perbincangan mengenai isu peralihan kuasa itu diadakan secara tertutup.

Lihat Komen
ADS