Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syabas Haikal, sebelah kaki, bertongkat, 7km bukan masalah

Bagi orang biasa pun, berjalan 7km bukan mudah.

Bagaimanapun, remaja 13 tahun Haikal Mikail Anuar, yang hanya mempunyai sebelah kaki, membuatkan jarak itu tidak nampak jauh.

Sambil tersenyum dan bertongkat, kadangkala dipegang rakan-rakannya, Haikal berjaya menghabiskan larian merentas desa anjuran sekolahnya SMK Muadzam Shah, Pahang pada 17 Januari lalu.

Haikal menghabiskan larian lebih dua jam.

Walaupun mendapat nombor terakhir, Haikal ternyata menjadi pencetus inspirasi kepada rakan-rakannya yang lain.

Haikal ialah bekas pesakit kanser tulang yang kakinya terpaksa dipotong ketika berumur enam tahun.

Bapanya, Anuar Abas, 50, berkata, akibat penyakitnya itu, Haikal pernah mengalami masalah patah tulang kaki di tempat yang sama.

"Bermula pada bahagian tulang lutut serta paha apabila anggota itu membengkak seterusnya doktor memberitahu terpaksa dipotong," katanya lagi.

Menurutnya, tulang lutut dan paha anak keempat daripada lima beradik itu dibedah ketika dia masih muda.

Dan bermula dari itulah kehidupan Haikal berubah, katanya yang berkhidmat sebagai pemandu lori.

Haikal ialah anak keempat daripada lima adik beradik.

Bapanya juga berkata sejak di sekolah rendah lagi, Haikal mempunyai motivasi yang tinggi.

Dia juga, kata Anuar, sejak tujuh tahun diajar untuk berdikari.

"Saya izinkan Haikal sertai apa-apa aktiviti (di sekolah).

“(Saya) mahu dia berdikari, tidak perlu mengharapkan orang, selagi boleh, selagi upaya," katanya.

Sementara itu, guru kelasnya hanya hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Rohana berkata, sebelum larian itu lagi, Haikal memang seorang yang aktif.

Anak muda itu malah pernah terlibat dalam permainan bola sepak, mengayuh basikal, terlibat dalam acara flying fox dan berenang, bawah pengawasan guru sekolah.

“Haikal main bola untuk pertama kalinya dia tak nampak muridnya itu cacat kaki. Dan saya tak rasa kekurangan yang ada pada dirinya boleh menghalang apa yang ingin dia lakukan,” kata cikgu pendidikan khas itu.

Lihat Komen
ADS