Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Tiada rancangan kuarantin semua ketibaan dari China, negara terkesan

Mereka yang datang dari China dan negara yang telah dikesan dengan kes koronavirus tidak akan dikuarantin serta-merta sebaik tiba di Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk ketibaan pelancong dari China, Mahathir maklum bahawa jumlahnya boleh mencecah dua juta orang.

"Jumlah pelancong dari China boleh mencecah dua juta, (maka) kita nak simpan di mana?

"Bubuh kat kandang lembu? Tak kan macam itu...(Hanya) mereka yang ada tanda (dijangkiti virus) kita akan kuarantin," katanya selepas menghadiri acara rumah terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI), di Dewan Hokkien Klang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seruan agar tempoh kuarantin mandatori dikenakan kepada mereka yang datang ke Malaysia dari negara yang memiliki kes koronavirus, sebagai langkah berjaga-jaga tambahan selain pengesanan kesihatan di pintu masuk negara.


Baca: Wabak coronavirus: Apa yang kami tahu setakat ini


Mahathir berkata lagi, kerajaan tidak akan menghantar pulang pelancong dari Wuhan, China, kerana langkah kuarantin mereka yang disyaki dijangkiti virus itu di sini lebih berkesan untuk menghalang ia daripada terus merebak.

"Anda boleh hantar mereka pulang ke China, tetapi dalam proses penghantaran itu, mereka akan berhubungan dengan orang lain.

"Lebih baik kuarantin mereka dahulu sehingga mereka tak tunjuk tanda (virus) dan selepas itu kita boleh hantar mereka pulang," katanya dalam sidang media yang turut disertai Lim, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa menteri lain.

Beliau mengulas cadangan oleh wartawan veteran A Kadir Jasin agar Malaysia mengikut langkah Filipina yang menghantar pulang semua pelancong dari Wuhan, yang menjad tempat virus itu mula-mula dikesan.

Setakat ini kira-kira 2,000 orang di China telah dijangkiti virus tersebut.

Ditanya sama ada Malaysia akan menimbang untuk mengenakan larangan kemasukan pelancong dari Wuhan, Mahathir berkata tumpuan pada masa ini ialah menghalang virus itu daripada terus menular.

"Pada masa ini, ia tentang pencegahan dan bukan rawatan. Pencegahan juga termasuklah memakai topeng muka dan menjauhi mereka yang disyakit ada virus ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS