Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Syed Saddiq dakwa dikepung sekumpulan individu di program Bersatu
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 1:16 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beserta ibu dan bapanya terpaksa melarikan diri apabila diganggu sekumpulan individu yang mengepung meja makan mereka semasa perjumpaan bersama Armada Johor, malam tadi.

Menurut Syed Saddiq, yang juga ketua Armada, sekitar 200 orang berpakaian hitam didakwa datang tanpa diundang ke perjumpaan itu, kemudian mengepung dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Kejadian itu berlaku di sebuah restoran di Ulu Tiram, Johor, dan dihadiri anggota Armada, Srikandi (Wanita Bersatu) dan bahagian parti itu.

Exco Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen dan Adun Puteri Wangsa Mazlan Bujang juga dilaporkan ada di situ.

“Gangster dan tidak hormat orang.

“Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini,” dakwanya di Instagram hari ini.

Dalam video yang didakwa memaparkan kejadian itu, kumpulan berbaju hitam itu didengar menjerit agar Syed Saddiq meninggalkan negeri itu.

“Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ, kalau mahu pulang dari majlis.

"Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadap dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat,” katanya lagi, yang juga anggota parlimen Muar.

Beliau tidak mengulas lanjut siapa yang dimaksudkan sebagai TMJ, bagaimanapun umum mengetahui ia merupakan gelaran kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Syed Saddiq turut mendakwa dirinya, dua adun tersebut dan orang lain terpaksa menggunakan "jalan tikus" dan "lompat pagar" untuk beredar dari restoran itu.

Seorang pembantunya memberitahu Malaysiakini bahawa laporan polis akan dibuat tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi dan waktunya.

Pemuda Umno nafi

Dalam satu hantaran di Facebook, Syed Saddiq berkata pihaknya telah membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

"Kami juga ada rakaman video wajah mereka yang terlibat untuk dijadikan bahan bukti. Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan polis," katanya.

Beliau turut mendakwa kumpulan individu itu disyaki daripada Umno "yang sengaja datang untuk mengganggu program" mereka.

Bagaimanapun Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan perkara itu, sebaliknya mendakwa ia pergaduhan dalam Bersatu sendiri ekoran musim pemilihan parti itu.

"Melampau kamu wahai Syed Saddiq...Kalau berani buat laporan polis dan tulis terang-terang tuduhan kamu (berkenaan penglibatan Umno), mudah kami menyaman kamu buat laporan palsu," katanya lagi.

Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah dalam kenyataan turut menafikan penglibatan parti itu dan menggesa Syed Saddiq disiasat kerana membuat dakwaan itu, yang menurutnya adalah fitnah.

View this post on Instagram

Malam ini, saya dan Armada Johor berkumpul di Ulu Tiram, Johor. Kami rancang untuk duduk semeja, sembang santai dan bersatu hati. Keluarga Srikandi dan Bahagian juga ada yang turut hadir. Ini rancangan asalnya lah. Tapi,malam ini diganggu oleh sekumpulan individu (sekitar 200 lebih orang) yang datang tidak dijemput. Mereka semua berdiri keliling berpakaian hitam datang ke majlis kami. Gangster dan tidak hormat orang. Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini. Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ, kalau mahu pulang dari majlis. Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadap dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat. Lebih teruk, keselamatan semua yang hadir. Bayangkan dikepung lebih 200 orang individu lagak seperti gangster. Saya sendiri, YB Rafiq, YB Mazlan dan lain terpaksa lari guna jalan tikus dan lompat pagar. Lari seperti orang salah. Terima kasih Armada Johor. Terima kasih Bersatu Johor. Malam ini adalah malam keluarga Armada dan Bersatu. Saya tak akan maafkan kumpulan yang biadap ini. Saya ingin ingatkan kepada mereka yang di sebalik tabir, Malaysia ini ada undang-undang, ada polis dan mahkamah. Tidak ada sesiapa yang lebih tinggi dari perlembagaan. Baik saya atau orang lain. No one is above the rule of law. Ini Malaysia. Malaysia, milik semua.

A post shared by Syed Saddiq (@syedsaddiq) on

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS